16 kanak-kanak mati terbakar - Utusan Malaysia

16 kanak-kanak mati terbakar

SEBUAH asrama terbakar di Nakuru hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAIROBI: Kebakaran di asrama perempuan di Kenya pada Khamis telah mengorbankan 16 kanak-kanak dan menyebabkan 79 lagi dimasukkan ke hospital, dalam satu lagi tragedi kebakaran maut yang melanda sekolah di negara Afrika Timur itu.

Kebakaran itu berlaku sebelum jam 1 pagi waktu tempatan di Akademi Utumishi Girls di daerah Nakuru, kira-kira 120 kilometer di utara ibu negara Nairobi, menurut pihak berkuasa.

Banyak kebakaran sekolah yang dahsyat pernah berlaku di Kenya, di mana sekolah berasrama menjadi perkara biasa sebagai legasi penjajahan mubaligh dan British.

Identiti serta umur mangsa masih belum dikenal pasti.

“Kami mengesahkan 16 kematian. Ini satu insiden yang amat malang,” kata Menteri Pendidikan, Julius Migos Ogamba kepada wartawan di lokasi kejadian.

Ibu bapa yang cemas dihalang daripada memasuki kawasan sekolah ketika penyiasat berusaha mengenal pasti mangsa.

“Hati dan doa kami bersama keluarga yang kehilangan anak-anak perempuan mereka,” kata Presiden William Ruto di platform X, menyifatkannya sebagai tragedi yang sukar dibayangkan.

Sekolah itu dikaitkan dengan Perkhidmatan Polis Negar, dan kebanyakan pelajar adalah anak kepada pegawai polis, kata Menteri Dalam Negeri, Kipchumba Murkomen.

“Kami tahu ini adalah saat yang sangat mencemaskan,” katanya kepada media.

Apabila ditanya mengenai punca kebakaran, Murkomen meminta orang ramai bersabar sementara siasatan dijalankan dan menggesa supaya tidak membuat spekulasi.

Kanak-kanak sebelum ini pernah dituduh sengaja memulakan kebakaran sekolah. Satu laporan mendapati terdapat 63 kes pembakaran di sekolah pada tahun 2018 sahaja. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN