Undang-undang syariah tidak terpakai kepada organisasi - Peguam - Utusan Malaysia

Undang-undang syariah tidak terpakai kepada organisasi – Peguam

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini diberitahu, undang-undang syariah tidak terpakai terhadap mana-mana badan atau organisasi sebaliknya hanya terpakai kepada individu Muslim.

Peguam, Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili SIS Forum Sdn. Bhd. menjelaskan, Perlembagaan Persekutuan telah memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjalankan kuasanya terhadap mereka yang menganut agama Islam dan mengamalkan cara hidup Islam.

“Definisi mereka yang menganut agama Islam perlu dilihat dari konteks Perlembagaan Persekutuan dan bukannya berdasarkan mana-mana enakmen (undang-undang syariah). Organisasi, pertubuhan atau entiti tidak tertakluk bawah undang-undang syariah,” katanya ketika berhujah pada prosiding semakan kehakiman oleh SIS Forum yang mencabar Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Seksyen 66A menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah, boleh, demi kepentingan keadilan, atas permohonan mana-mana orang, menggunakan bidang kuasanya untuk mendengar dan membenarkan permohonan bagi semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat oleh majlis atau jawatankuasa dalam menjalankan tugas di bawah enakmen tersebut.

Selain itu, peguam terbabit menyatakan Seksyen 66A adalah tidak sah kerana tidak diberikan kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan untuk berbuat demikian malah Seksyen 25(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 menyatakan kuasa semakan kehakiman hanya diberikan kepada Mahkamah Sivil.

Pada ketika ini, salah seorang Hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar hujahan tersebut, Datuk Seri Zawawi Salleh menimbulkan persoalan mengenai remedi bagi isu-isu membabitkan agama Islam.

“Sekiranya kuasa semakan adalah eksklusif kepada Mahkamah Sivil dan kita tahu bahawa semua isu membabitkan agama Islam hanya boleh dibuat di Mahkamah Syariah, di mana remedi boleh dicari? Mahkamah Sivil tiada kuasa untuk mendengar isu berkaitan agama Islam dan Mahkamah Syariah pula tiada kuasa semakan,” ujarnya.

Malik kemudian menjawab, fatwa terdiri daripada dua element iaitu kandungan fatwa dan proses yang diambil sebelum sesuatu fatwa dibuat dan semakan kehakiman yang dibuat pada hari ini tertumpu kepada proses tersebut.

“Kita semua bercakap tentang proses fatwa itu dibuat tetapi secara tidak langsung, perkara yang dipertikaikan ialah fatwa itu sendiri, bukan,” kata Hakim Zawawi.

Sekiranya hanya Mahkamah Sivil sahaja yang mempunyai kuasa eksklusif dalam semakan kehakiman, jadi di manakah isu-isu berkaitan Islam hendak dibawa atau dicari remedinya?

Pada 27 Ogos 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman SIS Forum terhadap fatwa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menyatakan NGO itu sebagai sesat atas alasan hanya Mahkamah Syariah Selangor boleh menentukan tindakan undang-undang terhadap fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.

Bagaimanapun, pada 22 September 2020, SIS Forum beroleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk mencabar seksyen tersebut.

Sementara itu, peguam Abdul Rahim Sinwan yang mewakili Majis Agama Islam Selangor (MAIS) selaku pencelah menghujahkan kuasa semakan kehakiman Mahkamah Syariah tidak melangkaui kuasa kehakiman yang diberikan Perlembagaan persekutuan kepada mahkamah sivil kerana isu utama persoalan adalah mengenai fatwa dan fatwa mempunyai kaitan dengan undang-undang agama islam.

Selain itu, walaupun sesuatu badan atau organisasi itu tidak boleh mengamalkan cara hidup Islam seperti mengucapkan syahadah, berpuasa dan sebagainya namun ia boleh dianggap `Muslim’ berdasarkan mereka yang menerajuinya.

“Dalam kes hari ini. SIS Forum Sdn. Bhd yang mana SIS bermaksud Sisters In Islam merupakan sebuah syarikat yang mempunyai perkataan `Islam’ pada namanya. Oleh sebab ia membawa nama `Islam’ maka ia membawa reputasi sebagai sebuah badan Islamik yang mewakili Islam.

“Oleh itu, SIS Forum boleh dianggap sebagai `Muslim’ walaupun ia merupakan sebuah pertubuhan dan oleh itu tertakluk di bawah Enakmen tersebut,”kata peguam itu.

Selepas mendengar hujah daripada kesemua pihak, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun yang mengetuai panel sembilan hakim itu memaklumkan bahawa keputusan permohonan itu akan dibuat pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Turut bersidang secara atas talian hari ini ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed dan Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Zawawi, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Puan Seri Zaleha Yusof, Datuk Harminder Singh Dhaliwal dan Datuk Rhodzariah Bujang. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.