Ekonomi Malaysia berkembang 5.4 peratus meskipun berdepan konflik Asia Barat - Utusan Malaysia

Ekonomi Malaysia berkembang 5.4 peratus meskipun berdepan konflik Asia Barat

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan melebihi jangkaan bagi dua suku berturut-turut apabila berkembang sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama 2026 meskipun berdepan ketidaktentuan global susulan konflik di Asia Barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, momentum itu mencerminkan disiplin fiskal dan kecekapan tatakelola Kerajaan Madani walaupun ketidakstabilan global terus berlarutan.

Beliau berkata, kedua-dua anggaran awal Jabatan Perangkaan (DOSM) dan unjuran median Bloomberg sebelum ini menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2026 pada kadar 5.3 peratus.

Katanya, permintaan domestik dan sektor luaran kekal berdaya tahan pada suku pertama 2026 dengan permintaan domestik berkembang sebanyak 5.2 peratus.

“Prestasi ini disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang stabil hasil daripada pasaran buruh yang kukuh serta peningkatan pendapatan boleh guna susulan pelaksanaan fasa kedua Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada penjawat awam serta bantuan berterusan melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Pelaburan dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pusat data juga kekal teguh, didorong dasar yang memudah cara serta persekitaran pelaburan yang kondusif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, tumpuan kerajaan terhadap reformasi Ekonomi Madani berasaskan dasar mesra pertumbuhan, program berpaksikan rakyat dan pengurusan fiskal yang bertanggungjawab terus memperkukuh momentum pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, pendekatan ini membolehkan Malaysia mengekalkan momentum pertumbuhan daripada 5.2 peratus pada 2024 dan 2025 sebelum meningkat kepada 5.4 peratus pada suku pertama 2026.

“Pada masa sama, pengurusan fiskal yang bertanggungjawab membolehkan kerajaan mengurangkan dampak kenaikan harga bahan api global terhadap rakyat dan perniagaan melalui Budi Madani RON95 (BUDI95) serta bantuan dipertingkat di bawah Budi Diesel, selain terus menyokong perbelanjaan isi rumah dan pertumbuhan ekonomi.

“Penciptaan pekerjaan yang berterusan telah menurunkan kadar pengangguran kepada 2.9 peratus, iaitu paras terendah dalam tempoh sedekad, manakala inflasi kekal sederhana pada kadar 1.6 peratus sepanjang suku tersebut,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, pengukuhan berterusan nilai ringgit sebagai antara mata wang berprestasi terbaik di Asia selain prestasi lebih kukuh Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI serta aliran masuk bersih pelaburan langsung asing berjumlah RM22.8 bilion pada suku pertama 2026 mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin meningkat terhadap ekonomi Malaysia.

Katanya, kerajaan kekal berwaspada terhadap impak konflik di Asia Barat terhadap permintaan global, rantaian bekalan dan kestabilan pasaran walaupun reformasi Ekonomi Madani telah melaksanakan perubahan yang sekian lama tertangguh dalam pengurusan fiskal serta ekonomi negara.

“Konflik berpanjangan di Asia Barat berpotensi meningkatkan risiko gangguan terhadap rantaian bekalan global, khususnya melalui kenaikan kos tenaga, logistik dan input pengeluaran.

“Sekiranya berlanjutan, tekanan ini boleh menyumbang kepada inflasi yang lebih tinggi serta menjejaskan permintaan domestik, meningkatkan kos operasi perniagaan dan seterusnya memperlahankan momentum pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Madani telah menubuhkan pasukan petugas pengurusan krisis di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi memantau perkembangan semasa serta menyelaras tindak balas secara masa nyata terhadap risiko baharu.

Beliau berkata, sehingga 14 Mei 2026, kerajaan turut menyediakan sokongan pembiayaan sebanyak RM15 bilion kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi pembiayaan mikro, pinjaman perniagaan serta jaminan.

Katanya, pelarasan subsidi bahan api bersasar bersama sokongan berterusan menerusi BUDI95 dan bantuan dipertingkat di bawah BUDI Diesel bertujuan mengurangkan kesan kenaikan harga tenaga global terhadap isi rumah serta perniagaan yang layak, selain menyokong kestabilan ekonomi secara keseluruhan.

“Langkah ini juga dijangka meningkatkan kecekapan subsidi, mengawal peningkatan kos fiskal dan terus mengurangkan ketirisan melalui penguatkuasaan lebih tegas terhadap aktiviti penyeludupan.

“Keutamaan segera kita adalah memastikan kestabilan ekonomi dan mengurangkan sebaik mungkin dampak luaran daripada krisis ini terhadap rakyat.

“Pada masa sama, Kerajaan Madani kekal komited meneruskan reformasi Ekonomi Madani sambil memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada hasil yang nyata buat rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN