SEREMBAN: Kerajaan melancarkan Pelan Tindakan Pembangunan Belia 2035 sebagai langkah memperkukuh pembangunan generasi muda secara menyeluruh melibatkan kerjasama semua kementerian.
Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari berkata, pelan tersebut menetapkan tujuh teras utama termasuk kepimpinan digital, kecerdasan buatan (AI), pendidikan dan peluang pekerjaan bagi memastikan golongan belia dilengkapi dengan kemahiran masa depan.
Menurutnya, pelaksanaan dasar dan program berkaitan belia di setiap kementerian juga perlu diselaraskan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memastikan pembangunan anak muda dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
“Pelan pembangunan ini merangkumi kesemua kementerian yang lain melibatkan dasar-dasar belia di peringkat kementerian dan pelaksanaan program itu harus dilaksanakan bersama KBS.
“Kita mahu memastikan anak muda belia dalam negara ini bukan sahaja sekadar muda, tetapi melengkapi semua aspek kehidupan supaya menjadi generasi pelapis negara yang berkualiti, mempunyai jati diri serta kepimpinan yang baik,” katanya pada sidang akhbar Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan 2026 di Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.
Pelan tersebut dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, beliau berkata, KBS turut memperkukuh program Rakan Muda menerusi penjenamaan semula kepada Rakan Muda Madani yang merangkumi 10 gaya hidup anak muda.
Katanya, di bawah inisiatif itu, satu program mega Rakan Muda akan dilaksanakan setiap bulan bagi menggalakkan penglibatan aktif belia dalam pelbagai bidang pembangunan diri.
Pada masa sama, beliau memaklumkan kerajaan turut meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi memperkukuh pembangunan kepimpinan belia.
“Dana tersebut diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang aktif berpersatuan dan berupaya memimpin negara pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










