Inflasi dijangka meningkat antara 1.5 hingga 2.5 peratus - Utusan Malaysia

Inflasi dijangka meningkat antara 1.5 hingga 2.5 peratus

ABDUL Rasheed Ghaffour ketika bercakap pada Sidang Media Pengumuman Statistik KDNK Suku Pertama 2026 di Bank Negara Malaysia di sini, hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan inflasi negara meningkat dalam lingkungan 1.5 hingga 2.5 peratus tahun ini, berikutan tekanan kos global serta gangguan rantaian bekalan yang berpunca daripada konflik geopolitik semasa.

Bagaimanapun, bank pusat itu berkata, kadar dasar semalaman (OPR) ketika ini masih sesuai untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, tekanan inflasi ketika ini berpunca daripada faktor penawaran global dan bukannya permintaan domestik yang terlalu tinggi.

“Inflasi keseluruhan dijangka terus meningkat secara sederhana berikutan keadaan kos global yang tinggi serta pemindahan kos secara beransur-ansur kepada rantaian pengeluaran domestik,” katanya kepada pemberita pengumuman prestasi suku pertama 2026 di sini hari ini.

Inflasi keseluruhan meningkat kepada 1.6 peratus berbanding suku keempat 2025 sebanyak 1.3 peratus, manakala inflasi teras menjadi sederhana kepada 2.1 peratus berbanding sebanyak 2.3 peratus pada suku keempat 2025.

Abdul Rasheed berkata, kesan kenaikan harga tidak berlaku secara menyeluruh, sebaliknya hanya melibatkan sektor-sektor tertentu yang lebih terdedah kepada peningkatan kos komoditi dan gangguan bekalan.

Dalam masa sama, BNM berkata, sebarang keputusan mengenai OPR akan dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap pertumbuhan ekonomi dan risiko inflasi semasa.

“Dasar monetari tidak berada pada laluan yang telah ditetapkan. Kami akan terus dipandu oleh data dan perkembangan risiko semasa,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan subsidi bahan api, beliau berkata, kerajaan sedang menilai pelbagai pilihan termasuk pelarasan kuota atau harga subsidi secara holistik dengan mengambil kira keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan tekanan inflasi.

Sementara itu, mengenai hutang isi rumah, BNM berkata, kedudukan hutang kekal stabil pada sekitar 84 hingga 85 peratus daripada KDNK dan masih berada pada tahap terkawal.

Beliau berkata kebanyakan pinjaman isi rumah terdiri daripada pinjaman perumahan yang disokong aset, selain bank-bank tempatan masih mengamalkan standard pemberian pinjaman yang ketat.

“BNM juga menggesa individu dan perniagaan yang menghadapi kesukaran pembayaran pinjaman supaya tampil mendapatkan bantuan penstrukturan semula daripada institusi kewangan masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN