Tiga penjuru Pas, UMNO, Bersatu rugikan Melayu dan Islam - Utusan Malaysia

Tiga penjuru Pas, UMNO, Bersatu rugikan Melayu dan Islam

NORMALA SUDIRMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiada guna jika parti Melayu iaitu Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menentang antara satu sama lain dalam pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) atau mana-mana pilihan raya yang diadakan.

Ketua Penerangan Wanita Perikatan Nasional (PN) Johor, Normala Sudirman berkata, situasi tersebut hanya akan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menang dan berkuasa semula. 

Normala yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Johor turut memberitahu, undi Melayu akan berpecah dan tiada parti berteraskan Melayu atau Islam yang akan menjadi dominan.

“Di Johor khususnya, saya berharap supaya hubungan antara Pas, UMNO dan Bersatu terus diperkuat di semua peringkat demi menghadapi PRU-15.

“Jika semua yang bertanding kalah dan tidak dapat berkuasa, ketika itu menangis air mata darah pun tidak berguna lagi. Menyesal kerana nasi telah menjadi bubur,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Jumaat lalu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof mencadangkan PN mengadakan perbincangan dengan UMNO untuk bergabung dalam PRU-15.

Cadangan itu katanya bagi memastikan kepimpinan Melayu terus dikekalkan sekiranya PN menang PRU-15, namun jika UMNO enggan, Bersatu sedia untuk bertanding tiga atau empat penjuru melawan parti tersebut di mana-mana kerusi.

Mengulas lanjut, Normala berkata, semua pimpinan daripada Pas, UMNO dan Bersatu perlu bersama mengenepikan kepentingan peribadi dan kerakusan kuasa demi survival ummah dan politik Melayu.

“Semua pihak perlu melupakan sejarah lama yang mungkin pahit untuk dikenang dan belajar memaafkan demi kelangsungan generasi pelapis pada masa hadapan.

“Tiada gunanya kita berpecah kerana akan hilang kekuatan dan musuh politik pasti gembira melihat kehancuran sebuah ikatan tiga parti teras umat Islam yang selama ini dibina setelah kerajaan PH tumbang.

“Pas sebagai pendamai dan tali pengikat untuk mempertautkan tiga parti terbesar umat Islam itu dan sedia berkorban perasaan demi melihat kesatuan ini dapat diperkuatkan demi citra wajah Malaysia yang lebih terarah hala tujunya dalam persada politik Malaysia,” ujarnya.

Tambah Normala lagi, apa yang perlu dilakukan ketika ini adalah memperkasa Muafakat Nasional (MN) dan pertahan PN untuk melihat masa depan yang lebih cerah.

“Buang yang keruh, ambil yang jernih. Lupakan segala kepahitan lalu dan melangkahlah demi sebuah perjuangan yang luhur dan suci murni. Bagi UMNO, ingatlah pada saat kejatuhan lalu yang cukup melukakan.

“Jangan biarkan nasi menjadi bubur. Bertindaklah segera demi sebuah perpaduan dan penyatuan ummah dan menyelamatkan negara dari sebuah kehancuran kuasa yang pasti akan mengundang penyesalan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN