PERTEMPURAN berpanjangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran yang berlarutan hampir dua bulan bukan sahaja menggoncang kestabilan Asia Barat, malah turut mengheret kesannya ke Asia Tenggara yang secara geografi kelihatan jauh daripada pusat konflik.
Dalam dunia global yang saling bergantung hari ini, jarak bukan lagi benteng perlindungan. Pergerakan harga minyak, gangguan laluan perdagangan dan perubahan sentimen geopolitik berlaku pantas merentas sempadan, sekali gus memberi kesan langsung kepada ekonomi dan kehidupan masyarakat ASEAN.
Gelombang ketidakstabilan di Asia Barat, termasuk sekatan dan ancaman terhadap laluan strategik di Selat Hormuz, kembali mendedahkan betapa rapuhnya sistem ekonomi global.
ASEAN yang bergantung besar kepada perdagangan maritim dan import tenaga kini berdepan risiko rantaian bekalan yang semakin tidak menentu. Setiap ketegangan di rantau tersebut segera mencetuskan reaksi pasaran global, terutama dalam sektor tenaga.
Isu keselamatan tenaga menjadi kebimbangan utama. Data Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) menunjukkan kira-kira 20 hingga 21 juta tong minyak sehari melalui Selat Hormuz, iaitu laluan penting yang menghubungkan pengeluar minyak utama dunia.
Laluan ini menyumbang hampir satu perlima daripada penggunaan petroleum global. Apabila ketegangan meningkat di kawasan tersebut, pasaran segera bertindak balas dengan kenaikan harga minyak yang menghampiri paras AS$100 (RM396) setong.
Kenaikan harga tenaga memberi tekanan langsung kepada ekonomi Asia Tenggara. Kos pengangkutan meningkat, tarif elektrik turut naik dan inflasi mula menekan isi rumah serta sektor perniagaan.
Di Malaysia, kerajaan turut berdepan cabaran fiskal yang lebih besar apabila perlu mengekalkan subsidi bahan api bagi melindungi pengguna daripada kesan lonjakan harga global.
Pada masa sama, gangguan terhadap laluan perkapalan global semakin merumitkan keadaan. Sejak akhir 2023, serangan terhadap kapal dagang di Laut Merah memaksa banyak syarikat perkapalan mengelak Terusan Suez dan memilih laluan lebih jauh melalui Tanjung Harapan di Afrika Selatan. Perubahan laluan ini menambah tempoh penghantaran antara Asia dan Eropah sehingga 10 hingga 15 hari.
Laluan yang lebih panjang meningkatkan kos bahan api, menaikkan kadar pengangkutan dan melambatkan penghantaran barangan.
Ekonomi ASEAN yang berasaskan eksport turut menerima kesan langsung melalui peningkatan kos pengeluaran dan gangguan rantaian bekalan global. Keadaan ini menjejaskan daya saing serantau dalam pasaran antarabangsa.
Selain kesan ekonomi, konflik di Asia Barat turut mempengaruhi dimensi sosial dan politik di Asia Tenggara. Masyarakat di rantau ini menunjukkan keprihatinan tinggi terhadap isu kemanusiaan, sekali gus meletakkan tekanan kepada kerajaan untuk menyeimbangkan pendirian diplomatik yang neutral dengan solidariti kemanusiaan. Jika tidak ditangani dengan bijak, isu ini boleh mencetuskan polarisasi pandangan dan membuka ruang kepada naratif ekstremisme.
Sehubungan itu, ASEAN perlu melihat konflik Asia Barat sebagai amaran strategik, bukan sekadar krisis jauh.
Rantau ini perlu memperkukuh daya tahan melalui beberapa langkah penting. Pertama, ASEAN perlu mempelbagaikan sumber tenaga dengan mempercepat peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui seperti solar, angin dan hidro.
Pada masa sama, negara anggota perlu memperkukuh infrastruktur gas asli cecair (LNG) dan membina rizab petroleum strategik bagi menghadapi kejutan bekalan jangka pendek.
Kedua, ASEAN perlu mengukuhkan rantaian bekalan serantau. Peningkatan perdagangan intra-ASEAN, pembangunan pelabuhan moden dan pengukuhan logistik rentas sempadan dapat mengurangkan kebergantungan kepada laluan jauh yang mudah terjejas. Rangka kerja seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) turut membuka ruang kepada integrasi ekonomi yang lebih kukuh.
Akhir sekali, ASEAN perlu terus memanfaatkan kekuatan diplomasi serantau. Pendekatan diplomatik yang aktif, termasuk usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam menjalin dialog dengan pelbagai kuasa antarabangsa, wajar diperkukuh bagi meredakan ketegangan geopolitik dan memastikan keselamatan bekalan tenaga terus terjamin.
Konflik di Asia Barat membuktikan tiada rantau yang benar-benar terasing dalam era globalisasi.
ASEAN tidak boleh hanya bertindak sebagai pemerhati, sebaliknya perlu membina daya tahan ekonomi, memperkukuh kerjasama serantau dan memperluas strategi tenaga bagi menghadapi dunia yang semakin tidak menentu. –UTUSAN
DR. G. PERIASAMY
Felo Penyelidik Kanan
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)










