Terima rasuah RM650, pesara polis didenda RM3,000

Terima rasuah RM650, pesara polis didenda RM3,000

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Seorang pesara polis yang pernah bertugas sebagai penolong pegawai penyiasat didenda RM3,000 di Mahkamah Khas Rasuah, di sini hari ini.

Tertuduh, Sarjan Jangli Mamat, 58, dijatuhi hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat bagi pertuduhan rasuah ketika bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Belud pada 2016.

Tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM650 daripada Anizan Misdaranai, 39, yang dimasukkan ke dalam akaun Public Bank milik tertuduh antara 6 Oktober 2016 hingga 3 Mac 2017 bagi tujuan membebaskan tertuduh daripada kes di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Jangli yang berhadapan tiga pertuduhan hanya didakwa bagi pertuduhan pertama di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan setelah hakim mengugurkan dua pertuduhan untuk kesalahan sama.

Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam ini merayu kepada mahkamah agar dikenakan hukuman ringan kerana menghadapi masalah kesihatan dan ia merupakan kesalahan pertama yang dilakukan.

Ayah kepada empat anak ini memberitahu mahkamah bahawa sepanjang kerjaya sebagai anggota polis, beliau tidak pernah berhadapan dengan tindakan displin sehingga beliau bersara pada 2017.

Dalam kes berasingan, dua lagi pegawai dan anggota polis mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah daripada individu sama antara 4 November 2016 hingga 30 Ogos 2017.

Inspektor Bobby Rhyne Warry Nawaru, 38, dan Koperal James Well Anak Lakin, 44, masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima wang rasuah berjumlah antara RM3,600 dan RM600 daripada individu sama yang dimasukkan ke dalam akaun bank kedua-dua tertuduh.

Bagi kesemua pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bobby Rhyne yang berhadapan lapan pertuduhan dibenarkan diikat jamin dengan bayaran RM10,000 dan deposit RM5,000 manakala, James yang didakwa bagi tiga pertuduhan dibenarkan diikat jamin dengan bayaran RM6,000 dan deposit RM3,000 beserta seorang penjamin tempatan.

Hakim menetapkan 6 Disember sebagai tarikh pengurusan kes dan kedua-dua tertuduh diarah menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan diminta melapor diri setiap dua bulan di pejabat SPRM berhampiran.

Kes dikendalikan oleh Nurul Izzati Sapifee manakala, kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Setakat ini, 10 orang pegawai dan anggota polis dari IPD Kota Belud didakwa atas kesalahan menerima rasuah daripada individu yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya