fbpx

Sultan Ibrahim terima taklimat Pulau Batu Puteh

SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar menerima sembah taklimat mengenai isu Pulau Batu Puteh oleh Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang sebelum ini mempersoalkan isu Pulau Batu Puteh yang tidak diteruskan permohonan semakan hari ini dipersembah taklimat berkaitan isu tersebut.

Baginda menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Istana Pasir Pelangi, di sini.

Dalam pertemuan lebih sejam antara Sultan Johor dan Wan Junaidi itu, perbincangan lebih tertumpu kepada isu Pulau Batu Puteh yang ditubuhkan pasukan petugas khas oleh kerajaan bagi tujuan semakan semula undang-undang mengenainya.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr. Abdul Rahim Ramli turut hadir dalam pertemuan tersebut.

Pada 14 Oktober lalu, Sultan Ibrahim bertitah tindakan mesti diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab jika benar ada pihak yang melakukan kecuaian dan kekhilafan dengan tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh.

Baginda mahukan penjelasan disebalik tindakan kerajaan ketika pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 2018 untuk tidak meneruskan permohonan semakan ke atas penghakiman kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Sultan Johor yang terkilan dengan perkara itu bertitah, tindakan sedemikian seolah-olah mengalah sebelum masuk gelanggang kerana tidak meneruskan permohonan itu sedangkan telah menemukan bukti baharu yang berpihak kepada negara.

“Mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu? Adakah kita negeri anak tiri? Kalau tak suka Johor… Cuba kalau Malaysia kehilangan Pulau Langkawi kepada Thailand, bagaimana rasa orang Kedah agaknya?

“Saya mahu pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri dapat menjelaskan punca kerajaan sewaktu pimpinan Dr. Mahathir menarik balik semakan kes berkenaan. Ambil tindakan setegas-tegasnya jika benar berlaku kekhilafan. Ini adalah soal kedaulatan kita,” titah baginda.

Semalam, Dr. Mahathir menerusi catatan dalam laman web beliau berkata, percubaan secara rundingan untuk Malaysia memiliki semula Pulau Batu Puteh bertahun-tahun tidak berjaya, malah Singapura masih mendakwa pulau itu miliknya.

Bekas Perdana Menteri berkata, dalam hal itu, kedua-dua negara bersetuju untuk merujuk isu tuntutan pulau berkenaan kepada ICJ dengan kedua-dua pihak perlu berjanji secara bertulis akan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat termasuk tidak ada rayuan terhadap keputusan ICJ yang muktamad.

Kata beliau, rujukan kepada ICJ hanya akan diterima oleh ICJ jika perjanjian menerima tanpa soal dan keputusannya dihormati, maka negara yang bermaruah mesti menghormati janji kecuali negara yang tidak bermaruah yang akan mungkir janji. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI