HONG KONG: Tujuh individu dan dua syarikat didakwa berhubung kebakaran bangunan kediaman paling maut di dunia dalam beberapa dekad, yang mengorbankan 168 orang di sebuah estet perumahan awam di Hong Kong tahun lalu.
Kebakaran besar itu berlaku di estet Wang Fuk Court pada November lalu, apabila tujuh daripada lapan blok pangsapuri terbakar dalam kejadian yang mencetuskan siasatan berbulan-bulan.
Pendengaran awam sebelum ini dimaklumkan hampir semua sistem keselamatan kebakaran gagal berfungsi pada hari kejadian akibat kesilapan manusia.
Pihak berkuasa berkata, tujuh individu dan dua syarikat didakwa atas 25 pertuduhan, termasuk pembunuhan tanpa niat, konspirasi untuk menipu, pengubahan wang haram, cubaan mengganggu proses keadilan dan pengelakan cukai.
Mereka yang didakwa termasuk pengarah serta pemeriksa sebuah firma perunding yang terlibat dalam kerja pengubahsuaian estet tersebut, selain kontraktor utama projek berkenaan.
Siasatan turut menumpukan kepada penggunaan jaring keselamatan pembinaan yang tidak memenuhi piawaian serta puntung rokok, dipercayai antara faktor penyebaran pantas kebakaran tersebut.
Sistem penggera kebakaran bagi tujuh daripada lapan blok turut dinyahaktifkan, yang ‘sangat mengurangkan masa untuk penduduk berpindah keluar’, menurut peguam utama Victor Dawes kepada sebuah jawatankuasa bebas yang menjalankan siasatan.
Panel siasatan turut dimaklumkan jaring kalis api yang diwajibkan tidak digunakan di banyak kawasan, manakala tingkap pula ditutup dengan papan buih, yang mungkin menyumbang kepada api merebak ke dalam unit kediaman.
Pasukan Petugas Siasatan Kebakaran sebelum ini berpendapat puntung rokok yang menyala menyebabkan bahan mudah terbakar, sekali gus mencetuskan kebakaran besar itu.
Ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal akibat tragedi tersebut dan dipindahkan ke kediaman sementara.- AFP










