KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan merasmikan bangunan baharu Jabatan Pendidikan negeri (JPN) yang bakal berfungsi sebagai pusat kecemerlangan ilmu dalam memperkukuh usaha melahirkan generasi berpengetahuan, berkemahiran dan berfikiran kelas pertama.
Turut berangkat pada majlis perasmian itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dengan diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Keberangkatan baginda disambut oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dan Pengarah Pendidikan negeri, Rose Aza Che Arifin.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, baginda percaya bangunan yang dilengkapi kemudahan serba lengkap dan moden itu akan menjadi platform penting dalam memperkukuh pengurusan pendidikan, memperkasa profesionalisme guru serta melonjakkan kecemerlangan murid.
“Penguasaan ilmu, penghayatan pedagogi yang berkesan serta budaya perkongsian ilmu dan kemahiran digital perlu terus diperkasa agar sistem pendidikan kita kekal dinamik, relevan dan berdaya saing dalam menghadapi arus perubahan masa,” titah baginda pada majlis perasmian bangunan itu di Jalan Padang Behor-Guar Syed Alwi, di sini hari ini.
Sebagai rekod, bangunan JPN Perlis yang berkeluasan keseluruhan 6,4574 hektar itu telah mula dibina pada Ogos 2023 dan siap pada Oktober tahun lalu.
Baginda juga berharap perhatian sewajarnya perlu diberikan kepada usaha meningkatkan pencapaian murid secara menyeluruh merangkumi aspek ilmu, kemahiran dan pembentukan nilai karamah insaniah.
“Isu literasi dan numerasi juga hendaklah terus ditangani secara berfokus agar setiap murid menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira sejak di bangku sekolah rendah.
“Sesungguhnya pendidikan bukan hanya sekadar untuk mengejar kecemerlangan akademik, tetapi merupakan wadah membentuk insan sejahtera yang beradab, berilmu, berdaya tahan, berkemahiran dan berkeyakinan sebagaimana dihasratkan dalam Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035,” titah baginda.
Baginda bertitah, JPN dan seluruh institusi pendidikan seharusnya terus memperkukuh jaringan kerjasama dengan pelbagai rakan strategik daripada sektor kerajaan, swasta, institusi pengajian tinggi dan komuniti.
Titah baginda, sinergi yang terjalin akan membuka lebih banyak ruang kepada perkongsian kepakaran, inovasi dan peluang yang dapat memperkasa mutu pendidikan negeri ini.
“Semoga persekitaran kerja yang lebih moden dan kondusif ini terus menyemarakkan semangat untuk memberikan perkhidmatan yang cemerlang, berintegriti dan berimpak tinggi demi kemajuan pendidikan serta kesejahteraan generasi masa hadapan,” titah baginda.-UTUSAN










