PETALING JAYA: Satu kertas siasatan telah dibuka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap aduan berhubung dakwaan penyelewengan dana di bawah agensi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, siasatan itu dilakukan susulan SPRM menerima laporan yang dibuat oleh Pengerusi Pemuda Gen Z berhubung perkara sama di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, hari ini.
“Sehubungan itu, SPRM akan meneliti dan mengkaji laporan yang dikemukakan tersebut.
“Siasatan menyeluruh akan dibuat dengan melihat pelbagai sudut termasuk proses kelulusan dan perbelanjaan oleh persatuan, individu atau syarikat yang menerima dana terbabit bagi mengesan sebarang bentuk rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan,” katanya.
Terdahulu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) komuniti India hari ini mendesak Majlis Penasihat Hal Ehwal Masyarakat (IAAC) menyiasat dakwaan kronisme dalam pengagihan peruntukan untuk golongan B40 kaum itu yang dikendalikan oleh Mitra.
Desakan itu dilakukan selepas Mitra mendakwa terdapat campur tangan membabitkan seorang bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini yang didakwa mengagihkan dana tersebut kepada ‘kroni’ beliau melalui Mitra.










