SOP pengoperasian sekolah berada pada tahap terbaik

SOP di sekolah pada tahap terbaik

KEDUDUKAN setiap meja disusun dengan penjarakan satu meter bagi memastikan keselamatan pelajar pada tahap maksimum.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LABUAN: Sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka yang bermula semalam disifatkan terus berada pada tahap terbaik berikutan mengikut prosedur operasi standard (SOP) berdasarkan ketetapan Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menerusi tinjauan Utusan Malaysia di beberapa sekolah sekitar pulau bebas cukai itu, kesemua pelajar dilihat sentiasa mematuhi SOP digariskan seperti menjaga penjarakan fizikal serta kekal mengenakan pelitup muka.

Susulan itu, rata-rata ibu bapa menzahirkan keyakinan tinggi terhadap keselamatan anak-anak mereka ketika berada di sekolah selain berharap sesi bersemuka itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

HAHRIN BORHANORDIN

Menurut seorang waris pelajar, Hahrin Borhanordin, 40, keputusan KPM untuk membenarkan pelajar kembali ke sekolah merupakan berita paling dinantikan ketika ini.

“Sebagai ibu bapa, apabila anak-anak dapat kembali semula ke sekolah, kami berasa begitu bersyukur memandangkan mereka sudah lama berada di rumah dan hanya mengikuti kelas secara online sahaja tanpa berjumpa rakan-rakan lain.

“Jadi,melihat kepada SOP ditetapkan seperti kehadiran hanya 50 peratus sahaja selain jarak satu meter bagi setiap meja, saya begitu yakin menghantar anak ke sekolah dan tidak berasa risau,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha di sini.

Hahrin berkata, pemberian vaksin sebanyak dua dos kepada rata-rata pelajar di Labuan turut menjadi nilai tambah kepada keyakinannya untuk membenarkan anak-anak mengikuti sesi bersemuka di sekolah.

PELAJAR perlu mengimbas suhu badan terlebih dahulu sebelum dibenarkan mengikuti PdP secara bersemuka di sekolah.

“Dulu sebelum lengkap divaksin, saya berasa sedikit risau, tetapi kini pelajar sudah melengkapkan dua dos sekali gus memberi lebih jaminan terhadap tahap keselamatan mereka khususnya ketika berada di sekolah,” jelasnya.

Berpendapat sama, seorang lagi waris pelajar, Mohd. Fadzli Sheikh Abdul Rahim, 41, turut menyuarakan keyakinan terhadap keselamatan anak-anak di sekolah ekoran rata-rata mereka sudah lengkap menerima vaksin Covid-19.

MOHD. FADZLI SHEIKH ABDUL RAHIM

“Apabila pelajar sudah divaksin, insya-Allah, semuanya akan berada dalam keadaan terbaik, ditambah pula dengan SOP ketat, saya yakin tahap keselamatan anak-anak di sekolah bukanlah satu isu yang perlu dirisaukan.

“Jadi, saya menasihati ibu bapa untuk membenarkan anak-anak menerima vaksin dengan segera kerana ia merupakan langkah pencegahan terbaik selain disifatkan sebagai perisai buat anak-anak ketika di sekolah,” nasihatnya.

Dalam pada itu, bagi Nurul Syuhailah Hahrin yang merupakan pelajar Tingkat 4 di SMK Rancha-Rancha, dia berasa sungguh gembira dan teruja apabila berpeluang kembali ke sekolah semula dan berjumpa guru-guru.

“Sebelum ini, ketika belajar di rumah, saya berasa malu jika mahu bertanyakan soalan kepada guru, tetapi apabila secara bersemuka, saya berasa lebih selesa dan akan terus berkomunikasi secara langsung,” jelasnya.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin mengumumkan pembukaan semula sekolah di Labuan bermula 3 Oktober lalu dengan sesi pertama persekolahan membabitkan pelajar Tingkatan 5 dan 6 selepas pulau bebas cukai itu beralih ke Fasa 4 PPN.

Seterusnya, sesi persekolahan secara bersemuka diteruskan semalam dengan melibatkan pelajar Tahap Satu bagi sekolah rendah serta pelajar Tingkatan 3 dan 4 bagi peringkat menengah.

Difahamkan, bagi pelajar Tahun 4 dan 5 serta Tingkatan 1 dan 2, sesi PdP secara bersemuka dijadualkan bermula 1 November depan.

Semua sesi berkenaan diadakan secara penggiliran dengan kapasiti kehadiran sebanyak 50 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya