Sah Ahmad Fahim pandu Proton X50

Sah Ahmad Fahim pandu Proton X50

PERMOHONAN reman ke atas pemandu lori terlibat nahas enam sekeluarga maut ditolak Mahkamah Majistret Sungai Petani, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 yang terlibat dalam kemalangan dengan lori tanah sehingga mengorbankan enam mangsa disahkan dipandu oleh Allahyarham Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21.

Ahmad Fahim adalah pemilik Proton X50 tersebut dan juga adik kepada anggota polis, Lans Koperal Ahmad Shafiq, 29.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, terdapat kekhilafan pada maklumat awal yang menyatakan anggota polis itu yang memandu SUV berkenaan.

“Pada awalnya, polis dimaklumkan oleh bomba bahawa anggota kita (polis) yang pandu, namun pada pagi ini disahkan bahawa adik dia yang memandu. Terdapat kekhilafan dalam maklumat yang diterima itu,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, permohonan reman terhadap pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan enam sekeluarga di Kampung Baru Pinang Tunggal, semalam ditolak Mahkamah Majistret.

Majistret Mohamad Azlan Basri memutuskan demikian ketika permohonan tersebut dibuat oleh pihak polis ke atas lelaki berusia 49 tahun itu.

Siasatan kes kemalangan itu dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Terdahulu, lelaki terbabit dibawa ke mahkamah dengan trak polis pukul 8.25 pagi.

Akhbar ini melaporkan polis menyiasat semua aspek bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan yang mengakibatkan enam sekeluarga maut dalam kejadian di Kampung Baru Pinang Tunggal.

Menurut Adzli, siasatan awal mendapati ketika kejadian lori membawa muatan tanah itu hanya dipandu pada kelajuan 60 kilometer sejam (km/j).

Proton X50 itu dikatakan baru sahaja diambil dari pusat jualan kenderaan tersebut pagi hari kejadian dan kesemua mereka dalam perjalanan menziarahi kubur arwah bapa di Merbok, dekat sini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN