PELAJAR perubatan sering dilihat sebagai golongan yang bijak, berdisiplin dan berdaya tahan tinggi.
Di bahu mereka terpikul harapan besar untuk bergelar doktor dan pakar perubatan yang akan menjaga nyawa manusia pada masa hadapan.
Namun, di sebalik kot putih, buku tebal dan jadual klinikal padat, hakikatnya ramai dalam kalangan mereka sedang bergelut dengan tekanan berpanjangan.
Walaupun kelihatan ceria dan aktif di media sosial, namun realitinya mereka berdepan kesunyian serta keletihan emosi.
Manakala sebahagian yang lain pula tetap hadir ke kelas setiap hari, tetapi dalam diam mengalami gangguan tidur, serangan panik malah kehilangan semangat untuk belajar.
Pakar psikiatri dan pensyarah perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Dr. Tengku Mohd. Saifuddin Tengku Kamarul Bahri berkata, pendidikan dalam bidang kesihatan bukan sahaja mencabar dari sudut akademik, malah turut menguji kekuatan emosi dan psikologi pelajar.

Apatah lagi mereka turut terdedah kepada penderitaan, trauma dan kematian pesakit, selain tekanan klinikal serta persekitaran pembelajaran yang sangat kompetitif sejak di peringkat awal latihan.
Walaupun memulakan pengajian dengan impian besar untuk membantu masyarakat, tidak semua yang mampu melalui perjalanan itu dengan mudah.
“Senario ini bukan lagi asing kerana pelbagai kajian tempatan dan antarabangsa menunjukkan kadar kemurungan serta kebimbangan golongan ini adalah tinggi.
“Lebih membimbangkan, pemikiran untuk membunuh diri dalam kalangan pelajar perubatan kini bukan lagi isu terpencil,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Berdasarkan kajian penyelidik Universiti Teknologi Mara (UiTM), sebanyak 43.5 peratus daripada 907 pelajar perubatan universiti itu dikesan mengalami masalah kesihatan mental yang dikaitkan dengan simptom kebimbangan.
Daripada jumlah itu, sebahagian besarnya merupakan pelajar tahun satu yang baharu memulakan pengajian peringkat ijazah sarjana muda.
Kajian sama turut merekodkan sebanyak 35.2 peratus pelajar mengalami tekanan, manakala 7.1 peratus menunjukkan simptom kemurungan.
Belajar demi bertahan
Dalam budaya bidang perubatan, tidak tidur malam demi untuk belajar dianggap sebagai simbol komitmen.
Menahan emosi pula dianggap profesionalisme manakala menangis selepas mengalami peristiwa buruk pula petanda seseorang lemah.
Tengku Mohd. Saifuddin berkata, budaya itu menyebabkan rata-ratanya hanya belajar semata-mata untuk bertahan.
“Mereka hidup dalam keadaan stres kronik akibat tekanan akademik termasuk silibus yang banyak, beban kognitif dan peperiksaan berterusan, persaingan untuk mendapatkan keputusan terbaik serta ketakutan membuat kesilapan.
“Sampaikan ada yang terpaksa belajar sehingga lewat pagi, hampir setiap hari kerana takut gagal atau mengecewakan keluarga,” katanya.
Ujarnya, keadaan itu menjadi lebih berat apabila memasuki fasa klinikal.
Pada fasa ini, pelajar bukan sahaja perlu menguasai ilmu, tetapi berinteraksi dengan pesakit, berdepan penyelia tegas dan belajar membuat keputusan dalam situasi penuh tekanan.
Takut dapatkan bantuan
Stigma masyarakat terhadap masalah kesihatan mental menyebabkan masih ramai pelajar perubatan takut mendapatkan bantuan.
Mereka bimbang dilabel lemah, tidak kuat atau sengaja mencari perhatian.
Akhirnya, golongan itu memilih untuk memendamkan perasaan sehingga keadaan menjadi lebih serius.
“Fenomena ‘derita dalam senyap’ masih menebal dalam bidang kesihatan dan saya tidak nafikan masih ada pelajar yang enggan mendapatkan bantuan psikologi kerana bimbang dilabel tidak kompeten atau berkelayakan sebagai doktor.
“Dalam masa sama, ada juga yang khuatir rekod rawatan kesihatan mental akan menjejaskan masa depan kerjaya mereka,
“Walaupun paling memahami tentang penyakit mental, mereka kadangkala sukar untuk mendapatkan pertolongan,” katanya.
Jejas akademik
Isu kesihatan mental tidak hanya melibatkan emosi pelajar semata-mata, malah turut menjejaskan prestasi akademik dan hubungan sosial.
Di samping itu, ia turut meningkatkan risiko penyalahgunaan bahan terlarang, kecederaan diri dan pemikiran bunuh diri.
Tengku Mohd. Saifuddin berkata, kesan besarnya adalah kepada sistem kesihatan negara pada masa hadapan.
Katanya, pelajar yang lesu upaya dan kemurungan berisiko mengalami penurunan sikap empati, keletihan emosi, kesukaran membuat keputusan serta masalah profesionalisme.
“Jika isu ini tidak ditangani di peringkat awal, kita bakal melahirkan tenaga kesihatan yang cemerlang akademik tetapi rapuh dari sudut emosi dan psikologi.
“Sebab itu, kita tidak boleh lagi menganggap tekanan melampau sebagai ‘harga’ untuk menjadi seorang doktor,” katanya.
Tegasnya, kesihatan mental perlu dijadikan agenda utama dalam pembangunan pelajar, dengan institusi pengajian tinggi (IPT) memainkan peranan lebih aktif melalui sistem sokongan psikologi yang mudah diakses, mesra pelajar dan bebas stigma.
Aplikasi Morsi, Be Nice
Selain pendekatan tradisional, aplikasi kesihatan mental turut berperanan penting dalam membantu pelajar mendapatkan sokongan awal kerana lebih mudah diakses, fleksibel dan kurang stigma.
Unisza kini giat membangunkan Aplikasi Modul Intervensi Daya Tahan (Resilience) dan Pengurusan Tekanan (Morsi) yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Tengku Mohd. Saifuddin berkata, aplikasi itu membantu pengguna memahami emosi, mengurus tekanan secara lebih sihat dan membina kekuatan psikologi dalam menghadapi cabaran kehidupan serta akademik.
Ia mengintegrasikan elemen pembelajaran interaktif dan latihan pengurusan tekanan secara berperingkat.
Sebelum ini, Unisza turut membangunkan aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI), Be Nice sebagai medium intervensi awal bagi membantu individu dengan tekanan emosi dan kecenderungan mencederakan diri.
“Walaupun aplikasi digital tidak dapat menggantikan rawatan profesional sepenuhnya, tetapi teknologi seperti ini mampu menjadi jambatan awal untuk membantu pelajar mendapatkan bantuan.
“Kita tidak boleh mengharapkan pelajar perubatan menjaga kesihatan masyarakat jika kesihatan mental mereka sendiri terus diabaikan,” katanya










