HULU TERENGGANU: Kemahiran hidup dalam hutan yang penuh cabaran dimanfaatkan sepenuhnya oleh sekumpulan renjer Orang Asli yang menjadi tulang belakang usaha pemuliharaan hidupan liar di kawasan Tasik Kenyir, di sini.
Berbekalkan pengalaman hidup yang dekat dengan alam semula jadi, mereka kini memainkan peranan penting bersama Panthera Malaysia dalam memantau hidupan liar, mengesan pencerobohan dan menjaga khazanah hutan negara.
Di Kenyir, terdapat tiga renjer Orang Asli yang aktif bertugas bersama Panthera daripada keseluruhan 30 renjer Komuniti Panthera yang ada.
Bagi Eddy, 39, daripada suku kaum Temiar dari Gua Musang, Kelantan, tugas sebagai renjer Panthera sejak 2018 membuka lembaran baharu hidupnya.
Katanya, sebelum menyertai organisasi itu, dia bekerja mencari hasil hutan dan tidak pernah terdedah kepada penggunaan teknologi moden.
“Pada awalnya memang susah sebab saya langsung tidak tahu guna Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) atau kamera perangkap.
“Di sini kami diajar cara pasang kamera, guna GPS dan pelbagai teknologi lain untuk kerja pemantauan hutan. Ambil masa hampir setahun juga untuk mahir,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menurutnya, tugas mereka memerlukan ketahanan mental dan fizikal kerana perlu berada di dalam hutan sehingga seminggu menjalankan rondaan dan penyelenggaraan kamera perangkap.
“Selok-belok hutan tiada masalah kerana saya sudah biasa dengan hutan sebelum ini,” katanya.
Seorang lagi renjer, Ayan, 30, juga dari Gua Musang berkata, dia pernah bekerja sebagai pemandu lori di Pelabuhan Klang sebelum menyertai Panthera kira-kira dua tahun lalu.
Katanya, minat terhadap aktiviti pemuliharaan mendorongnya meninggalkan pekerjaan lama untuk mendalami ilmu berkaitan hidupan liar dan penjagaan hutan.
“Sebelum ini saya tidak pernah terlibat dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) berkaitan pemuliharaan, jadi bila masuk Panthera banyak ilmu baharu saya belajar terutama kerja rondaan hutan.
“Paling mencabar apabila berdepan dengan haiwan liar. Februari lalu kami terserempak seekor gajah besar berhampiran kem asas,” katanya. – UTUSAN










