‘Saya nasihat dia supaya terus semangat jadi polis’

‘Saya nasihat dia supaya terus semangat jadi polis’

JENAZAH Allahyarham Khairul Azzad Kamarudzaman dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Ar-Raudhah, Kota Seriemas, Nilai selepas selesai solat jenazah di Surau Al- Kauthar, Kota Seriemas, Nilai, Seremban, hari ini. - FOTO/AFIFI HAFIZ MOHD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bapa kepada Allahyarham Khairul Azzad Kamarudzaman, 29, anggota polis yang ditemukan maut dengan kesan tembakan di leher di dalam sebuah kereta di pekan Muar, Johor semalam, memberitahu anaknya itu pernah mengadu tertekan dengan tugasnya.

Bagaimanapun, Kamarudzaman Kusan, 50-an berkata, dia sentiasa memberikan semangat kepada anak sulungnya itu supaya untuk terus bekerja kerana itulah asam garam sebagai seorang anggota polis.

“Pasal kerja dia ada mengadu ada tekanan, saya hanya menasihatkan dia untuk terus bekerja, kerana semua anggota polis begitu.

“Apapun saya reda, walaupun dia anak sulung, saya reda dengan kehilangannya,” katanya ketika ditemui pemberita di Surau Al- Kauthar, Kota Seriemas, Nilai, di sini hari ini.

KAMARUDZAMAN Kusan (tengah) tidak dapat menahan sebak selepas solat jenazah Allahyarham anaknya, Khairul Azzad  di Surau Al-Kauthar, Kota Seriemas, Nilai, Seremban, hari ini. – FOTO/AFIFI HAFIZ MOHD. NOR

Jenazah Khairul Azzad sebelum itu tiba di pekarangan surau berkenaan dari Hospital Besar Muar kira-kira pukul 5.30 petang untuk urusan solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ar-Raudhah, Kota Seriemas di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam kenyataan semalam memaklumkan, seorang anggota polis lelaki berpangkat lans koperal ditemukan maut dengan kesan tembakan di leher dalam sebuah kereta Proton Preve di lot meletak kenderaan di Pekan Muar, pada pukul 11.18 pagi.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati terdapat kesan tembakan di leher anggota polis tersebut selain polis turut menemukan sepucuk senjata jenis Revolver .38 berada bersama si mati.

Sementara itu, Kamarudzaman berkata, anak sulung daripada tiga orang adik beradik itu merupakan seorang yang ceria dan sangat mesra dengan ahli keluarga dan rakan-rakannya.

“Kali terakhir saya jumpa dia pada 6 Oktober lalu apabila dia bercuti dan pulang ke rumah di Kuarters KLIA di sini. Pada 12 Oktober, Allahyarham mohon untuk pulang awal kerana dia perlu melaporkan diri untuk bertugas pada 14 Oktober, saya benarkan.

“Masa berjumpa itu, tiada apa-apa yang mencurigakan, dengan keluarga dan adik beradik dia ceria sahaja. Dia tiada masalah keluarga, Allahyarham dengan rakan-rakannya juga cukup baik dan rapat, mereka sangat mesra walaupun antara mereka sudah lama tidak berjumpa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya