Sasar 100,000 Skuad Waja, henti keganasan wanita - Utusan Malaysia

Sasar 100,000 Skuad Waja, henti keganasan wanita

RINA Mohd. Harun pada pelancaran Skuad Waja bersama Ikon Skuad Waja, pelakon, Dynas Mokhtar. -UTUSAN/SITI AI'SYAH SUKAIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG :  Seramai 100,000 sukarelawan disasarkan menyertai Skuad Wanita Anti Jenayah atau Skuad Waja pada tahun ini, yang ditubuhkan bagi meningkatkan kesedaran seluruh masyarakat untuk mengambil tindakan bagi menghentikan keganasan terhadap wanita.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, pada masa ini, seramai 20,406 ahli telah dilatih dengan Modul Skuad Waja terdiri daripada 19,544 wanita dan 862 lelaki serta menyantuni sebanyak 775 kes dari Januari hingga 15 Oktober lalu.

“Antara kes yang dibantu termasuk keganasan rumah tangga, gangguan seksual, jenayah siber dan membantu komuniti terkesan dengan pandemik Covid-19 bagi mendapatkan pekerjaan dan kemahiran yang boleh menjana pendapatan dengan merujuk kepada agensi berkaitan.

“Selain itu, ahli Skuad Waja juga bukan sahaja terdiri dalam kalangan wanita malah, lelaki juga digalakkan dan penglibatan mereka ini merupakan gambaran isu menangani keganasan terhadap wanita merupakan isu bersama,” katanya pada sidang akhbar pelancaran Skuad Waja di sini hari ini.

Hadir sama pada pelancaran tersebut, pelakon Dynas Mokhtar yang juga Ikon Skuad Waja.

Dalam pada itu, beliau berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang Januari hingga September merekodkan, sebanyak 5,821 kes keganasan rumah tangga dilaporkan dan dibuka kertas siasatan berbanding 3,677 kes untuk tempoh sama tahun lalu.

Katanya, menyedari keadaan ini, kementerian menubuhkan Skuad Waja untuk menjadi pendengar yang baik dalam menyantuni dan membantu komuniti bagi mengelakkan berlaku perkara yang lebih buruk.

“Dalam masa sama, peningkatan kes bunuh diri sebanyak 1.4 kali ganda iaitu 638 kes dalam tempoh Januari hingga Julai berbanding 262 kes dalam tempoh sama tahun lalu seperti dilaporkan PDRM, menunjukkan keperluan bantuan psikososial sangat diperlukan masyarakat.

“Perubahan norma baharu kehidupan yang membataskan pergerakan serta aktiviti sosial dalam kalangan masyarakat memberi impak terhadap emosi dan kesihatan mental seseorang, justeru peranan Skuad Waja amat diperlukan,” ujarnya.

Oleh itu, tambah beliau, usaha dan inisiatif pelbagai pihak harus dilibatkan dan penubuhan Skuad Waja bertepatan serta relevan dalam meningkatkan kesedaran kepada masyarakat terutamanya kesedaran untuk menghentikan keganasan dan mendapatkan bantuan profesional.

“Besar harapan saya dengan perluasan Skuad Waja ini akan menjadi mata dan telinga kepada komuniti, seterusnya memberi kemudahan kepada mangsa keganasan untuk tampil dan membuat laporan kepada penguatkuasaan serta membantu komuniti sebagai kumpulan sokongan psikososial dalam menangani isu kesihatan emosi, pengurusan kendiri dan sebagainya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rina berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan melancarkan talian keluarga khusus untuk masalah rumah tangga dan perkahwinan di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Ujarnya lagi, talian tersebut dimulakan sejak September serta telah melaksanakan kaunseling secara dalam talian dalam membantu mereka menghadapi masalah rumah tangga dan ia akan dilancarkan dalam masa terdekat. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.