PN kuat kerana Pas - Sanusi

PN kuat kerana Pas – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pas akan membincangkan masa depan dan kedudukan parti itu dalam Perikatan Nasional (PN) setelah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan akan kekal dalam gabungan berkenaan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, satu mesyuarat di peringkat Pas diadakan pada hari ini bagi menentukan langkah seterusnya.

“Kedudukan Pas dalam PN belum ditentukan lagi, belum dimuktamadkan. Hari ini ada mesyuarat Pas tapi saya tidak hadir. Saya dimaklumkan mesyuarat itu untuk menentukan masa depan Pas sama ada masih bersama atau tidak.

“Tapi saya rasa kalau ada gabungan lebih besar, lebih baik. Pada pandangan peribadi saya lebih baik pergi kepada gabungan yang lebih baik. PN kuat kerana Pas,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco Kedah, di sini, hari ini.

Semalam, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai parti pengasas PN, Bersatu akan terus kekal dalam gabungan itu dan memperkukuhkan teras perjuangannya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, keputusan mengekalkan dua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersatu dalam kerajaan negeri pimpinannya tidak bercanggah dengan keputusan dibuat parti.

“Semua keputusan-keputusan pendirian Pas dibuat oleh pemimpin, bukan di peringkat bawah. Semua macam itu kerana pemimpin yang menjadi guardian kepada parti.

“Dasar semua ditentukan oleh pimpinan, dia bukan mai daripada bawah. Dia yang pimpin, kalau mai daripada bawah macam mana ada pemimpin pula? Tak ada canggah apa pun,” katanya.

Tambahnya, pendirian menghentikan kerjasama dengan Bersatu dibuat secara sebulat suara pada Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat, sekali gus menafikan dakwaan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz kononnya keputusan itu tidak dipersetujui kumpulan ulama Pas.

“Kenyataan Dewan Ulama Pas ada, Tun Faisal ini dia tahu semua dalam Pas dia ahli Pas ka? Saya tahu dia Bersatu, dia bekas ahli UMNO,” katanya.

Berhubung kedudukan Kerajaan Negeri Perlis, Muhammad Sanusi berkata, keadaan di negeri itu kekal seperti sedia kala selagi tidak ada apa-apa perubahan dibuat.

“Tak ada bincang sangat situasi di Perlis, semua keputusan nak dibuat dalam Pas akan dirunding, dibincang, diperhalusi. Ini pun beberapa kali peringkat macam di Majlis Syura dua kali mesyuarat, jawatankuasa harian hampir setiap minggu dan kadang-kadang seminggu dua kali.

“Mesyuarat Pas Pusat dua, tiga kali. Nak buat keputusan besar kena bincang, diperhalusi, dilumatkan dalam Pas ini bukan tergesa-gesa macam parti itu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN