PETALING JAYA: Pancutan gas dari bawah tanah dikesan berlaku ketika kerja penggerudian dijalankan di tapak projek Northern Coastal Highway di Kampung Datuk, Kuala Lawas, Sarawak hari ini.
Kejadian itu dilaporkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas pada pukul 12.33 tengah hari selepas pekerja di tapak berkenaan mengesan gas keluar dari permukaan tanah.
Susulan laporan diterima, sepasukan anggota bomba bersama pegawai Pusat Kawalan Operasi (PKO) Lawas segera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan dan penilaian situasi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Ibu Pejabat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, komander operasi melaporkan pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 12.50 tengah hari selepas menempuh perjalanan sejauh 18 kilometer.
Katanya, hasil pemantauan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku selepas pihak kontraktor menjalankan kerja penggerudian di tapak pembinaan lebuh raya berkenaan.
“Kerja penggerudian itu dilakukan sehingga kedalaman kira-kira 45 meter sebelum berlaku pancutan gas dari dalam tanah.
“Setakat pukul 1.25 tengah hari, kawasan yang dikenal pasti masih aktif mengeluarkan gas dan pemantauan berterusan sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pihak bomba telah memasang sawar keselamatan pada jarak 30 meter dari lokasi kejadian bagi menghalang orang awam menghampiri kawasan berisiko.
Pada masa sama, kontraktor turut dinasihatkan menghentikan sementara semua kerja penggerudian sehingga pemeriksaan lanjut dijalankan oleh agensi berkaitan.
Operasi pemantauan itu melibatkan 10 anggota BBP Lawas dan keadaan di lokasi dilaporkan terkawal. – UTUSAN










