KLUANG: Pemuda 19 tahun yang terlibat memandu secara melulu bersama abangnya sehingga menyebabkan empat sekeluarga maut di Jalan Renggam-Simpang Renggam, di sini 1 Jun lalu dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan dan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“Kita telah terima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk suspek diberikan jaminan polis sementara menunggu tarikh pendakwaan,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Pada 1 Jun lalu, suspek bersama abangnya dipercayai memandu secara melulu dan merbahaya sehingga menyebabkan kemalangan yang meragut nyawa Semek Mat Soh, 73; Nor Azlina Abd Latip, 33; Aiman Mohd? Rashid, 36; dan Nur Airish Syifa Sidek, 10.
Abang suspek yang berusia 22 tahun juga dilaporkan maut ketika dalam perjalanan ke hospital bagi mendapat rawatan.
Susulan kejadian itu, suspek telah ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










