Tuntutan jongkong emas kenalan isteri bekas PTD didengar 31 Julai

Tuntutan jongkong emas kenalan isteri bekas PTD didengar 31 Julai

KOMPLEKS MAHKAMAH KUALA LUMPUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan 31 Julai ini bagi pendengaran pihak berkepentingan yang ingin mencabar permohonan pelucuthakan jongkong emas seberat 3.85 kilogram (kg) yang disita daripada kenalan isteri bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Salwani Anuar@Kamaruddin kepada Kerajaan Malaysia.

Hakim Suzana Hussin menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan kerajaan untuk mengeluarkan warta pihak ketiga kepada mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan ke atas barang itu yang disita daripada kontraktor, Mohamad Amirul Yusrie Aminorddin@Ab. Kadir, 31.

Mahkamah turut menetapkan bahawa harta berkenaan akan dilucuthakkan kepada kerajaan sekiranya tiada pihak ketiga mengemukakan tuntutan terhadapnya.

Permohonan itu dibenarkan mengikut Seksyen 41 (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat memohon agar notis kepada pihak ketiga itu dikeluarkan.

“Jadi, ini adalah permohonan yang telah difailkan oleh pihak kami di bawah Seksyen 41 Akta SPRM 2009 untuk melucuthakkan tanpa pendakwaan emas seberat 3,858.5 gram yang telah disita daripada responden (Mohamad Amirul).

“Memandangkan pihak responden telah mengesahkan bahawa beliau tidak akan mencabar permohonan ini, kami mohon satu warta pihak ketiga dibenarkan untuk difailkan,” katanya.

Mohamad Amirul yang diwakili peguam Muhammad Kausar Mohd. Khairi tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap permohonan berkenaan.

Pada 15 Januari lalu, keseluruhan wang tunai dan aset bernilai RM16.1 juta disita dan dirampas SPRM membabitkan Op Parasit dan Op Star.

Daripada jumlah itu, Op Parasit merekodkan sitaan dan rampasan RM11.4 juta melibatkan wang tunai, mata wang asing serta sebuah kenderaan mewah Range Rover SVR bernilai RM360,000, selain pembekuan 75 akaun syarikat berjumlah RM32.5 juta.

Bagi Op Star pula, sitaan dan rampasan bernilai RM4.7 juta membabitkan wang tunai, kenderaan, jongkong emas serta pembekuan akaun syarikat.

Turut dirampas 26 unit jam tangan Rolex bernilai RM2.3 juta, barang kemas, cincin berlian, jongkong emas, medalion emas dan dinar emas dengan nilai keseluruhan melebihi RM5.2 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN