Bekas penyelia kedai emas pecah amanah dijel 16 bulan, 3 sebatan

Bekas penyelia kedai emas pecah amanah dijel 16 bulan, 3 sebatan

KOH Mun Hoe yang didakwa atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan jongkong emas bernilai RM176,200 ketika dibawa polis ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, di sini hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas penyelia kedai emas dipenjara 16 bulan dan sebat tiga kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana melakukan pecah amanah membabitkan jongkong emas bernilai RM176,200 milik majikannya, awal Jun lalu.

Hukuman itu ditetapkan Hakim Azrul Darus selepas tertuduh, Koh Mun Hoe, 33, mengaku bersalah bagi kesemua pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, dia sebagai penyelia sebuah kedai emas didakwa melakukan pecah amanah dengan memajak emas milik kedai itu di sebuah kedai pajak gadai bagi kegunaan sendiri.

Harta berkenaan melibatkan satu ketul jongkong emas 999 seberat 50 gram bernilai RM35,180 dan dua ketul jongkong emas 999 seberat 100 gram masing-masing bernilai RM70,710 dan RM70,310.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di antara pukul 1.36 tengah hari, 4 Jun dan 10.42 pagi, 8 Jun 2026 di premis kedai emas berkenaan di sebuah pusat beli-belah di Maluri di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 14 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda.

Mengikut fakta kes, pengurus sumber manusia syarikat berkenaan mendapati tiga ketul jongkong emas telah hilang semasa pemeriksaan stok di peti besi pada 16 Jun lalu.

Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati Mun Hoe yang mula bekerja sejak 3 Disember 2025 telah mengambil emas berkenaan dan menjualnya untuk kepentingan peribadi menyebabkan syarikat mengalami kerugian.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulhilmi Latif mencadangkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran diberikan kepada tertuduh.

Mun Hoe yang tidak diwakili peguam pula memohon agar mahkamah memberikan hukuman ringan atas alasan telah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan sama.

“Ini kesalahan pertama saya, mohon bagi peluang. Saya ada ayah yang tidak bekerja kerana strok dan ibu yang tinggal bersama saya.

“Saya juga telah bercerai dan ada dua anak berumur 6 dan 3 tahun. Saya telah salah ambil keputusan ini (melakukan pecah amanah) dan saya tidak akan buat lagi supaya saya boleh sara keluarga saya,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×