Samun tiga premis, dua lelaki dicekup polis, seorang lagi diburu - Utusan Malaysia

Samun tiga premis, dua lelaki dicekup polis, seorang lagi diburu

MOHD. Said Ibrahim (tengah) menunjukkan gambar seorang lelaki yang diburut dipercayai terlibat dalam kes samun di daerah ini ketika sidang akhbar di IPD Seremban, Seremban 2 hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua lelaki dipercayai rakan jenayah dalam kes samun berantai di tiga buah lokasi di sekitar daerah ini berjaya dicekup polis dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas mereka melakukan jenayah tersebut, 24 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, hasil risikan pasukan khas, tangkapan pertama dilakukan pada 25 Oktober lalu.

Ia membabitkan seorang lelaki berusia 27 tahun yang ditangkap pada pukul 7.55 pagi di tepi Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) menghala ke Shah Alam.

Tambahnya, tangkapan kedua pula membabitkan lelaki berusia 30 tahun pada pukul 3 petang pada hari yang sama di sebuah rumah pangsa di Taman Desa Ria, Sungai Way, Petaling Jaya, Selangor.

Bagaimanapun menurutnya, seorang lagi suspek iaitu K. Thiyago, 33, yang beralamat di Kampung Chery, Sungai Way, Petaling Jaya, yang dipercayai merupakan rakan sejenayah masih lagi diburu polis.

“Oleh itu, kami mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat berhubung suspek ketiga agar boleh menyalurkan maklumat berkenaan kepada Pegawai Penyiasat Jenayah Seremban, Inspektor Saidi Busman di talian 011-31558034,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban hari ini.

Sementara itu, Mohd. Said berkata, kejadian samun berkenaan membabitkan dua buah stesen minyak di Rahang manakala satu lagi membabitkan sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Campbell.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek melakukan samun secara berkumpulan dan bersenjatakan rotan serta tukul besi.

“Hasil dari tangkapan berkenaan, polis telah menemukan kembali laci mesin wang yang disamun dan kenderaan yang digunakan dalam kes samun berkenaan iaitu sebuah kereta jenis Proton Wira.

“Kenderaan berkenaan merupakan kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Puchong, Selangor. Kedua-dua suspek ini juga merupakan individu yang dikehendaki dalam beberapa kes berasingan di IPD Serdang dan Petaling Jaya,” katanya.

Menurut beliau, kedua-dua suspek mempunyai lapan dan empat rekod jenayah lampau dan masing-maisng kini direman dari tarikh ditangkap hingga 31 Oktober depan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun secara berkumpulan dan bersenjata,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya