PETALING JAYA: Kerajaan memperuntukkan RM1.5 bilion bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri menerusi Bajet 2022.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan akan melaksana tiga inisiatif iaitu membina sebuah Sekolah Menengah Agama di Labuan dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM65 juta.
Keduanya, meluaskan skop pengajaran Takmir di bawah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) kepada agensi-agensi Kerajaan seperti Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan menambah 1,000 orang Guru Takmir.
Katanya, ketiga adalah menyalurkan pemberian khas sekali bayar sebanyak RM500 untuk manfaat 70,000 orang Imam, Bilal, Siak, Noja, Marbut, Guru Takmir dan Guru KAFA.
“Kerajaan akan terus memperkasa wakaf sebagai instrumen agihan semula kekayaan bagi pembangunan ekonomi ummah. Bagi melahirkan lebih ramai usahawan tani dan pengusaha industri halal serta membantu mereka sekiranya ditimpa bencana, Kerajaan akan menyalurkan dana permulaan sebanyak RM10 juta bagi memulakan inisiatif Wakaf Halal PKS, Wakaf Pertanian dan Wakaf Bencana.
“Syarikat-syarikat korporat dan individu dialu-alukan untuk mewakafkan harta mereka ke dalam tabung ini,” katanya dalam pembentangan Bajet 2022 hari ini.










