Sindiket semakin agresif, kes tertinggi penipuan pelaburan

Sindiket semakin agresif, kes tertinggi penipuan pelaburan

RUSDI MOHD. ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaburan saham mencatatkan jumlah kes tertinggi penipuan pelaburan tahun ini diikuti kripto dan emas, menunjukkan sindiket semakin agresif mengeksploitasi instrumen pelaburan popular untuk memperdaya mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, bagi Januari hingga Mac lalu, sebanyak 2,204 kes pe­nipuan pelaburan dilaporkan dengan kerugian berjumlah RM246.7 juta.

“Tahun lalu, kerugian akibat penipuan pelaburan mencecah RM1.47 bilion membabitkan 9,603 kes. Jumlah itu menunjukkan peningkatan berban­ding 6,337 kes dengan kerugian RM848.6 juta pada 2024,” kata­nya dalam kenyataan semalam.

Rusdi berkata, terdapat lima modus operandi utama yang digunakan sindiket dan keba­nyakannya menjadikan media sosial sebagai medium utama.

“Antara taktik yang dikesan melibatkan klon firma, tawaran keuntungan tinggi dalam tempoh singkat, skim ponzi, penipuan pelaburan cinta dan penggunaan platform kripto palsu.

“Mereka juga menggunakan Facebook dan Instagram untuk menarik mangsa sebelum mengalihkan komunikasi ke Whats­App atau Telegram,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan pelaburan palsu yang kononnya dikendalikan pihak profesional bagi meyakinkan mereka untuk melabur.

“Mangsa dipaparkan keuntungan, namun tidak dapat me­ngeluarkan wang dan sete­rus­nya diminta membuat bayaran tambahan seperti caj pem­prosesan, cukai atau yuran lain,” katanya.

Bagi skim ponzi pula, beliau berkata, keuntungan awal dibayar menggunakan dana pelabur baharu sebelum sistem itu akhir­nya gagal apabila tiada lagi kemasukan baharu.

Katanya, trend semasa turut menunjukkan peningkatan penggunaan aset kripto seperti mata wang kripto Tether (USDT) apabila mangsa diarahkan memindahkan dana ke dompet digital sindiket melalui platform tidak sah.

“Golongan berusia 31 hingga 50 tahun paling ramai terbabit, khususnya kumpulan umur 41 hingga 50 tahun, diikuti mereka berusia 51 hingga 60 tahun serta 21 hingga 30 tahun.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya kepada tawaran pulangan tinggi dalam tempoh singkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN