KPT semak semula sistem, perketat SOP universiti

KPT semak semula sistem, perketat SOP universiti

ZAMBRY ABD. KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil pelbagai langkah proaktif termasuk menyemak semula sistem dan prosedur operasi standard (SOP) di universiti bagi memastikan pematuhan terhadap garis panduan yang ditetapkan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, langkah itu penting bagi memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan tahap ketelusan dalam pengurusan Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Beliau berkata, aspek integriti turut diperkukuh melalui penglibatan pegawai berpengalaman termasuk mereka yang mempunyai latar belakang penguatkuasaan bagi membantu memantau tadbir urus institusi.

“Antara langkah yang diambil termasuk memperkasa audit dalaman. Jika terdapat kelemahan, kita akan lakukan penambahbaikan segera.

“Jika sebelum ini, jawatankuasa tertentu dipengerusikan oleh Naib Canselor, maka kita ubah sistem itu supaya ketulusan itu diberikan dipastikan sistem itu benar-benar telus. Dan ada juga garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF), kenapa tidak diikuti, sebagai contohnya.

“Sebab itu pemantauan ini dilakukan, Sebagai contoh, di KPT dalam bahagian unit integriti, wakilnya yang berada dalam itu adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi membantu memastikan sistem dipatuhi dengan betul. Ini penting kerana kadangkala kelemahan berlaku akibat ketidakfahaman terhadap prosedur dan garis panduan yang telah ditetapkan.

“Kita tidak boleh bekerja secara bersendirian atau dalam pengasingan. Tanpa bekerja sama satu sama lain. Kerjasama antara semua pihak amat penting untuk memastikan setiap usaha penambahbaikan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Town Hall yang bertema “Berani Memerangi Rasuah, Mahasiswa Peneraju Perubahan” di Universiti Multimedia (MMU), hari ini.

Terdahulu, seorang pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengemukakan persoalan mengenai mengapa banyak universiti di negara ini dilihat terpalit dengan isu rasuah, selain meminta penjelasan berhubung perancangan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam membanteras gejala berkenaan di institusi pengajian tinggi.

Dalam masa sama, Zambry menegaskan kerjasama antara universiti, kementerian serta agensi berkaitan amat penting bagi memastikan tadbir urus yang baik dapat dilaksanakan.

Katanya, universiti awam dan swasta juga perlu mematuhi semua garis panduan termasuk yang melibatkan urusan kewangan dan perolehan.

“Semua pihak tidak boleh bekerja secara bersendirian. Kita perlu bergerak secara bersama bagi memastikan sistem yang dibina benar-benar berfungsi,” katanya.

Mengulas lanjut, Zambry menegaskan, KPT tidak sekali-kali mempertahankan sebarang kelemahan dalam institusi pendidikan tinggi (IPT), sebaliknya mahu memastikan imej dan nilai universiti tidak terjejas secara tidak adil.

Beliau berkata, sebarang isu yang timbul perlu ditangani secara telus dan berhemah tanpa menjejaskan reputasi institusi secara keseluruhan kerana universiti merupakan aset negara yang memainkan peranan penting dalam membentuk modal insan.

Justeru kata beliau, sebarang persepsi negatif yang tidak seimbang boleh memberi kesan jangka panjang.

“Ketika kita berusaha menyelesaikan sesuatu masalah, kita juga tidak boleh membiarkan wujudnya unsur-unsur yang boleh meruntuhkan institusi tersebut.

“Saya pernah menyebut kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bahawa saya sendiri melihat apa yang sedang berlaku, kerana institusi ini merupakan institusi kebanggaan negara.

“Bayangkan, setiap hari kita membaca pelbagai cerita dan laporan berkaitan institusi ini. Namun, ini bukan bermaksud kita cuba mempertahankannya.

“UKM adalah sebuah institusi yang kita banggakan bersama, begitu juga dengan institusi pendidikan tinggi lain yang mempunyai nilai dan kualiti tersendiri.Tapi disebabkan perkara-perkara seperti ini, masyarakat hari ini melihat universiti daripada perspektif kaca mata yang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN