JOHOR BAHRU: Dua bekas pemimpin UMNO yang sebelum ini digantung dan dipecat, sah menyertai semula part tanpa sebarang syarat hasil Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung kelmarin.
Dua nama besar yang telah mengesahkan menyertai semula UMNO setakat ini adalah Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO berkata, beliau akan memikul amanah sebagai ahli parti dengan komitmen dan prinsip yang tidak pernah berubah sejak sebelum dikenakan penggantungan.
“Alhamdulillah, MKT UMNO telah menarik semula penggantungan saya selepas tiga tahun. Saya akan terus berjuang dan berkhidmat, memikul amanah dengan komitmen dan prinsip. Dulu, kini, selamanya,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di Facebook semalam.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini berkata, UMNO secara rasmi menerima semula 6,252 bekas pimpinan dan ahli yang sebelum ini pernah dipecat, digantung atau keluar daripada parti secara sukarela.
Katanya, Ahli MKT menyokong dan mendukung penuh gagasan ‘Rumah Bangsa’ yang dipengerusikan oleh YAB Presiden UMNO untuk menerima kembali tanpa syarat mana-mana ahli yang pernah digantung, dipecat, atau keluar atas apa jua faktor.
Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin turut menzahirkan reaksi sama selepas permohonannya diterima semula oleh parti.
“Saya sudah pulang,” katanya ringkas menerusi hantaran di Instagram merujuk keputusan MKT UMNO yang membuka laluan untuk beliau kembali aktif dalam politik.
Dalam satu lagi hantaran, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan tertinggi parti.
“Alhamdulillah, terima kasih Presiden dan Majlis Tertinggi,” katanya merujuk kepada Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.
Selain kedua-dua pemimpin itu, Syed Hamid Albar turut tersenarai antara 6,252 bekas pimpinan dan ahli pelbagai peringkat yang diterima semula ke dalam parti.
Sebelum ini, Khairy mengemukakan permohonan rasmi untuk membatalkan pemecatan keahliannya termasuk mengekalkan nombor keahlian asal, yang diserahkan kepada Ahmad Zahid dalam satu pertemuan bulan lalu atas semangat Rumah Bangsa.
Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, beliau bersyukur diberi peluang untuk kembali berkhidmat dan meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara. – UTUSAN










