PPV Unisza rai penerima vaksin terakhir sebelum tamat operasi - Utusan Malaysia

PPV Unisza rai penerima vaksin terakhir sebelum tamat operasi

ROMAIZI Mustafa (tengah) menjadi individu terakhir menerima vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di Kuala Nerus, hari ini. - PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Penerima terakhir vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di sini terkejut mendapat layanan istimewa susulan penutupan operasi premis berkenaan, hari ini.

Romaizi Mustafa, 55, berkata, dia sama sekali tidak menyangka bergelar individu ke-38,201 menerima vaksinasi tersebut dan berpeluang diraikan para petugas serta sukarelawan terlibat sebagai sebahagian daripada kenangan bermakna bagi dirinya.

“Saya dimaklumkan menjadi penerima terakhir vaksin semasa mendaftar di kaunter PPV tadi dan jika sebelum ini disuntik di dalam khemah tetapi proses kali ini dibuat di atas pentas serta disaksikan ramai.

“Rasa teruja dan tentunya menjadi kenangan paling manis untuk diingati sampai bila-bila,” katanya kepada pemberita selepas selesai menerima dos kedua vaksinasi Covid-19 di sini.

Romaizi yang merupakan penjawat awam berkata, dos pertama vaksin tersebut diterimanya pada 13 September lalu.

Sementara itu,  Prof. Dr. Fadzli Adam yang menjalankan tugas Naib Canselor Unisza berkata, PPV integrasi berkenaan terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula 9 Jun lalu selaras usaha memastikan sasaran imuniti kelompok di Kuala Nerus dicapai dengan segera.

Katanya, sehingga kini seramai 39,258 orang sudah menerima suntikan dos pertama manakala dos kedua pula 38,201 orang dengan membabitkan keseluruhan 77,770 dos vaksin sepanjang 77 hari beroperasi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN