Kia Carnival 11-tempat duduk: MPV besar, berkuasa dan praktikal

Kia Carnival 11-tempat duduk: MPV besar, berkuasa dan praktikal

KIA Carnival 11 tempat duduk ditawarkan pada harga bermula RM188,888.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KIA Carnival di Malaysia mempunyai sejarah yang agak panjang. Model ini mula diperkenalkan di pasaran tempatan sejak generasi pertama pada penghujung tahun 1999 sebelum kemudiannya lebih dikenali di bawah jenama tempatan menerusi Naza Ria.

Kini, Kia Sales Malaysia membawa masuk versi facelift bagi Carnival generasi keempat yang diperkenalkan pada Januari lalu dengan hanya dua pilihan varian, iaitu 11 tempat duduk dan tujuh tempat duduk. Kedua-dua varian ini dipasang secara tempatan di fasiliti Gurun, Kedah, manakala fasiliti sama turut menghasilkan varian 1.6 petrol hibrid untuk beberapa pasaran ASEAN lain.

Dari segi harga, Kia Carnival 11 tempat duduk ditawarkan pada harga bermula RM188,888 manakala varian tujuh tempat duduk pula bermula dari RM248,888 untuk pasaran Semenanjung Malaysia. Ini meletakkan Kia Carnival harga sangat kompetitif dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen D yang ada dipasaran

Seperti yang boleh dijangka, kedua-dua varian ini membawa pendekatan yang berbeza. Varian 11 tempat duduk jelas dibangunkan dengan fokus terhadap praktikaliti dan kapasiti maksimum, manakala varian 7 tempat duduk pula lebih menjurus kepada pengalaman MPV yang lebih mewah dan eksklusif.

Kia Carnival ini jelas sebuah MPV yang besar, tetapi dari segi visual ia tidak membawa imej sebuah van penumpang biasa.

Reka bentuk hadapan dengan identiti ‘Tiger Nose’, lampu LED dan proporsi badan yang panjang menjadikan Carnival nampak lebih moden dan matang

Ia tidak cuba menjadi terlalu agresif atau terlalu futuristik. Sebaliknya, pendekatan rekaannya lebih kepada keyakinan yang tenang. Ia nampak besar, tetapi masih kemas dan sesuai dengan imej penggunaan keluarga atau korporat.

Kabin luas dan memang dibina untuk kegunaan sebenar

Masuk ke dalam, terus jelas di mana kekuatan sebenar Carnival.

Rasa ruang itu memang ketara, tetapi yang lebih penting ialah bagaimana ruang tersebut digunakan. Susun atur kabin nampak difikirkan dengan teliti untuk kegunaan harian, bukan sekadar untuk nampak menarik dalam spesifikasi.

Bahagian depan tampil moden dengan gabungan skrin infotainmen 12.3 inci dan kluster digital 12.3 inci yang menjadikan ruang pemandu nampak lebih kemas dan kontemporari

Walaupun ini varian 11 tempat duduk, Carnival masih memberi rasa sebuah kenderaan penumpang moden dan bukan sekadar van pengangkut.

Dalam penggunaan sebenar, ia sangat relevan untuk keluarga besar, perjalanan jauh, kegunaan syarikat, hotel atau apa sahaja situasi yang melibatkan ramai penumpang.

Carnival tidak terasa seperti kenderaan komersial kosong. Ia masih mengekalkan kemudahan seperti pintu gelongsor kuasa, pendingin hawa belakang, port USB dan susun atur yang memudahkan pergerakan penumpang

Bagi pembeli yang benar-benar perlukan ruang dan kapasiti, inilah antara nilai jualan terbesar Carnival.

Walaupun bersaiz besar, Carnival tidak terasa sukar untuk dipandu.

Posisi duduk yang tinggi, pandangan keluar yang luas serta susun atur kawalan yang mudah difahami menjadikannya cepat dibiasakan walaupun bagi mereka yang pertama kali menggunakan MPV sebesar ini.

Perkara ini penting kerana ramai pembeli dalam segmen ini akan memandu sendiri, bukan sekadar duduk sebagai penumpang. Dari sudut itu, Carnival memberi impresi sebuah MPV besar yang mesra pengguna dan tidak terlalu menakutkan untuk dikendalikan dalam penggunaan harian.

Pengalaman pemanduan oleh penulis

Dari sudut pemanduan sebenar, Kia Carnival 11 tempat duduk ini memberi perasaan yang jauh lebih baik daripada jangkaan awal, terutamanya apabila mengambil kira saiz dan konfigurasi MPV ini.

Untuk sebuah model yang menggunakan enjin diesel, tahap penapisan bunyi dan gegaran dalam kabin boleh dikatakan sangat baik. Secara kebiasaannya, enjin diesel sering dikaitkan dengan bunyi kasar, getaran yang jelas serta bau asap yang agak kuat, namun dalam Carnival ini, perkara tersebut dikawal dengan baik.

Dalam kabin, bunyi enjin berada pada tahap yang rendah dan tidak mengganggu, manakala gegaran enjin hampir tidak dirasai oleh pemandu mahupun penumpang. Malah, bau asap diesel yang biasanya sinonim dengan enjin sebegini juga hampir tidak dirasai di sekitar kabin, sekali gus memberikan pengalaman yang jauh lebih halus berbanding jangkaan untuk sebuah MPV diesel.

Dari segi prestasi, enjin 2.2 liter turbo diesel ini memberikan karakter yang sangat sesuai dengan penggunaan sebenar Carnival.

Pengalaman memandu di Lebuhraya Karak memberikan gambaran jelas tentang keupayaan trenkuasa ini. Ketika mendaki sebelum terowong, dalam keadaan membawa penumpang serta beban, enjin ini hanya memerlukan sekitar 2,200 hingga 2,300 rpm untuk mengekalkan kelajuan sekitar 110 kilometer sejam (kmsj).

Sementara itu, ketika pemanduan di laluan lebuh raya yang lebih landai pada kelajuan sekitar 110 kmsj, enjin hanya beroperasi pada sekitar 1,700 hingga 1,800 rpm sahaja. Ini menunjukkan talaan transmisi lapan kelajuan dan karakter enjin diesel ini memang sesuai untuk pemanduan jarak jauh yang lebih santai, senyap dan tidak memaksa enjin bekerja keras.

Ini menunjukkan bahawa tork yang dihasilkan bukan sahaja mencukupi, tetapi juga disampaikan dengan cara yang efisien dan tidak memaksa enjin bekerja terlalu keras.

Dari sudut penggunaan bahan api pula, bacaan yang direkodkan sepanjang pandu uji adalah sekitar 10.9 liter bagi setiap 100 km.

Untuk sebuah MPV besar dengan konfigurasi 11 tempat duduk, enjin 2.2 liter turbo diesel serta penggunaan yang melibatkan penumpang dan beban, angka ini sebenarnya masih boleh dianggap munasabah.

Lebih-lebih lagi apabila mengambil kira bahawa Kia Carnival bukan sebuah MPV ringan atau kompak. Dengan berat mencecah lebih 2.1 tan, badan yang besar serta kapasiti penumpang yang tinggi, penggunaan bahan api pada tahap ini menunjukkan trenkuasa diesel yang digunakan masih mampu memberikan tahap kecekapan yang baik dalam penggunaan sebenar

Setakat semakan pada brochure rasmi, Kia tidak menyatakan angka rasmi penggunaan bahan api untuk varian ini, jadi angka 10.9 liter/100 km yang diperoleh ini sebenarnya lebih bernilai dari sudut pandu uji kerana ia datang daripada pengalaman penggunaan dunia sebenar.

Enjin diesel ini memang kena dengan karakter Carnival

Enjin 2.2 liter turbo diesel yang menghasilkan 199 hp dan 440 Nm ini memang sesuai dengan karakter sebuah MPV besar

Fokusnya bukan kepada pecutan agresif, tetapi kepada daya tarikan yang konsisten dan keupayaan membawa beban dengan tenang.

Untuk sebuah model seperti Carnival, karakter enjin seperti ini jauh lebih relevan berbanding sekadar mengejar angka prestasi di atas kertas.

Pendekatan Kia untuk Carnival ini jelas lebih kepada keselesaan dan kemudahan.

Ruang kabin yang luas, akses keluar masuk yang mudah serta pelbagai kemudahan menjadikan ia lebih sesuai untuk perjalanan jauh dan kegunaan harian

Dalam banyak keadaan, ini adalah kelebihan yang MPV ada berbanding kenderaan utiliti sukan (SUV) tiga baris tempat duduk.

Kerana akhirnya, MPV seperti ini dibina untuk fungsi sebenar, bukan sekadar gaya.

Ruang kargo fleksibel ikut keperluan

Aspek ruang kargo pada Kia Carnival 11 tempat duduk ini banyak bergantung kepada bagaimana susun atur tempat duduk digunakan.

Jika semua tempat duduk ditegakkan dan kesemua baris digunakan sepenuhnya oleh penumpang, ruang kargo belakang memang agak terhad, iaitu sekitar 56 liter sahaja

Dalam keadaan itu, ruang yang ada lebih sesuai untuk barangan kecil atau beg harian dan bukannya untuk muatan besar.

Namun begitu, kelebihan sebenar Carnival terletak pada fleksibiliti susun atur dalamannya. Apabila tempat duduk baris keempat dibaringkan, kapasiti ruang kargo boleh meningkat dengan sangat ketara sehingga sekitar 2,687 liter.

Ini memberikan Carnival kelebihan yang cukup besar untuk kegunaan harian yang lebih pelbagai, sama ada membawa ramai penumpang, barangan perniagaan, beg perjalanan atau muatan besar mengikut keperluan semasa.

Keselamatan mencukupi untuk kegunaan keluarga

Dari segi keselamatan, Carnival dilengkapi dengan lapan beg udara, ABS, ESC, traction control serta beberapa sistem bantuan seperti Rear Cross Traffic Collision Avoidance Assist dan Forward Collision Avoidance Assist

Secara keseluruhan, ini sudah mencukupi untuk kegunaan keluarga dan penumpang. Namun perlu diketahui, beberapa sistem bantuan pemanduan yang lebih lengkap ditawarkan pada varian tujuh tempat duduk dan bukan varian 11 tempat duduk ini.

Perkara ini penting untuk pembeli faham kerana akhirnya pilihan antara 11 tempat duduk dan tujuh tempat duduk bukan sekadar soal jumlah kerusi, tetapi juga soal keutamaan penggunaan.

Kia Carnival 11 tempat duduk ini jelas bukan kereta untuk semua orang, tetapi bagi pengguna yang benar-benar perlukan ruang, kapasiti penumpang dan kepraktisan, ia adalah antara pilihan paling masuk akal dalam pasaran Malaysia hari ini.

Sebaliknya, ia menawarkan apa yang sepatutnya sebuah MPV besar lakukan dengan cara yang matang, moden dan mudah digunakan dalam kehidupan harian.

Namun dalam masa sama, satu persoalan yang tidak boleh dielakkan adalah sejauh mana Kia Carnival 11 tempat duduk ini benar-benar selari dengan keadaan pasaran Malaysia ketika ini, khususnya dalam suasana kos bahan api yang semakin menjadi perhatian.

Dengan harga diesel semasa yang sudah melepasi RM6 seliter di sesetengah situasi, pemilikan sebuah MPV diesel besar seperti ini pasti akan menuntut komitmen operasi yang lebih tinggi. Untuk sebuah tangki berkapasiti 72 liter, kos pengisian penuh boleh mencecah sekitar RM430, satu angka yang pastinya bukan kecil untuk kebanyakan pengguna harian

Menurut Kia Sales Malaysia, salah satu kekuatan utama Carnival 2.2D ini ialah keupayaannya menawarkan jarak perjalanan yang jauh dengan satu tangki penuh. Berdasarkan angka yang dikongsikan ketika pelancaran, model ini dikatakan mampu mencatatkan jarak perjalanan melebihi 900 km bagi satu isian penuh diesel.

Dari sudut penggunaan dunia sebenar, dakwaan ini sekurang-kurangnya ada asas yang boleh difahami. Dengan kapasiti tangki yang besar, karakter enjin diesel yang lebih santai di lebuh raya, serta bacaan penggunaan bahan api sekitar 10.9 liter/100 km yang direkodkan sepanjang pandu uji, Carnival sememangnya mempunyai potensi untuk menjadi sebuah MPV jarak jauh yang sangat meyakinkan.

Atas sebab itu, walaupun varian diesel ini masih sangat kuat dari sudut prestasi, tork dan praktikal, ada hujah yang cukup munasabah bahawa Kia Sales Malaysia wajar mempertimbangkan untuk membawa masuk varian petrol hibrid ke pasaran tempatan.

Sebagai alternatif, varian hibrid bukan sahaja berpotensi menawarkan kos penggunaan yang lebih mesra pengguna, tetapi juga boleh membuka ruang kepada kelompok pembeli yang mahukan Carnival kerana ruang dan keselesaannya tanpa perlu terlalu risau tentang kos bahan api jangka panjang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN