Kayak terbalik dilanda ombak punca dua pelajar IPG lemas

Kayak terbalik dilanda ombak punca dua pelajar IPG lemas

LOKASI kejadian dua pelajar IPG Kampus Perlis yang ditemukan lemas ketika menyertai aktiviti berkayak di Pantai Merdeka, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Dua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis yang lemas ketika melakukan aktiviti berkayak di Kampung Sungai Baru berdekatan Pantai Merdeka dipercayai gagal mengawal kayak sebelum terbalik akibat dilanda ombak kuat.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kejadian berlaku ketika 22 buah kayak yang dinaiki secara berpasangan melalui kawasan muara Tanjung Dawai yang ketika itu bergelora, berarus deras dan angin kencang.

“Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, beberapa kayak yang dinaiki rakan mangsa juga terbalik, bagaimanapun disebabkan kedua-dua mangsa dipercayai panik mereka kemudian tenggelam.

“Mayat kedua-dua mangsa ditemui tersangkut pada jaring ‘langgai pumpang’ (pukat yang diikat dengan tong untuk mendapatkan udang membuat belacan) milik nelayan di kawasan berkenaan kira-kira pukul 7.30 malam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan dua pelajar IPG iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan berumur 20-an, ditemukan lemas ketika melakukan aktiviti berkayak di Pantai Merdeka.

Sementara itu, Hanyan memberitahu, kumpulan berkenaan dalam perjalanan dari Teluk Bayu ke Pantai Merdeka sambil diawasi oleh guru serta petugas sebuah kem motivasi yang menjadi lokasi penginapan 35 pelajar IPG berkenaan.

Katanya, hasil keterangan awal beberapa rakan mangsa, mereka sedang melalui laluan itu yang dipenuhi langgai pumpang selain terdapat banyak kelong ikan.

“Disebabkan petugas atau jurupandu arah telah memberitahu supaya berhati-hati, mereka berjaya melepasi kawasan berkenaan sebelum terperangkap di muara kerana arus deras dan berombak.

“Beberapa pelajar yang terselamat dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana trauma dengan kejadian yang menimpa mereka. Polis dalam proses melengkapkan siasatan untuk mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya.

Sementara itu, seorang nelayan tempatan yang enggan dikenali berkata, cuaca petang semalam buruk dengan laut bergelora, arus deras serta angin kencang.

“Cuaca ekstrem sebegitu selalu berlaku tambahan lagi dengan keadaan musim panas yang turut menyebabkan angin kencang bermula di laut sebelum bergerak ke arah muara Pantai Merdeka atau Tanjung Dawai.

“Selalunya keadaan cuaca sebegini tidak sesuai untuk aktiviti berkayak kerana sebagai nelayan kami pun hairan bagaimana mereka dibenarkan berbuat demikian (mengadakan aktiviti berkayak),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN