TELUK INTAN: Polis Perak akan menambah bilangan pasukan pemantau bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di lokasi-lokasi peranginan dan tumpuan ramai dipatuhi susulan kebenaran beroperasi beberapa aktiviti pelancongan di negeri ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ketika ini sebanyak 330 pasukan pemantau pematuhan SOP melibatkan semua elemen rondaan telah digerakkan di seluruh negeri.
“Tumpuan kita lebih kepada pematuhan SOP di mana pasukan itu menjalankan pemeriksaan dan kawalan di lokasi-lokasi tumpuan ramai.
“Insya-Allah, kita akan tambah (pasukan pemantau) seperti mana yang akan diumumkan kerajaan negeri untuk Pulau Pangkor. Kalau Pulau Pangkor buka esok, kita akan tambah keanggotaan di sana.
“Begitu juga dengan Taman Negeri Royal Belum dan rumah bot yang dibuka hari ini, saya akan minta Ketua Polis Daerah Gerik untuk pantau lokasi tersebut,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) lelaki yang dilaporkan hilang di kawasan kebun kelapa sawit di Alor Bakong, Langkap di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya sedang mengkaji untuk menutup sekatan jalan raya (SJR) antara daerah di mana keputusan berhubung perkara itu akan diketahui minggu hadapan.
Katanya, penutupan SJR itu akan membolehkan pihaknya memberi tumpuan kepada pasukan pemantau pematuhan SOP.
“Sekarang ini, hampir 90 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap menerima vaksin Covid-19, jadi kita dulu tunggu pengumuman kerajaan.
“Di pihak polis, kita dipertanggungjawab untuk menjalankan pemantauan terutama berkaitan SOP. Itu yang paling penting,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar mematuhi SOP yang ditetapkan di mana tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati ingkar.
“Jika berlaku pelanggaran SOP, kita tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan, perkara sama saya nasihatkan kepada pengusaha produk pelancongan dan pengunjung. Pastikan SOP dipatuhi sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE