SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan jemaah yang akan berangkat menunaikan haji pada tahun ini supaya mengawal diri dan tidak membazir dengan membeli-belah ketika berada di Tanah Suci dalam situasi ekonomi dunia yang bergolak.
Baginda bertitah, para jemaah sebaiknya memberikan tumpuan kepada pelaksanaan rukun Islam kelima itu, menjaga disiplin serta mematuhi arahan pihak berkuasa Arab Saudi supaya perjalanan ibadah di sana berjalan dengan lancar.
“Satu perkara lagi yang penting Beta suka ingin mengingatkan kepada jemaah haji ialah perlunya menjaga kesihatan diri, tidak membazir dan mengawal perbelanjaan serta berjimat cermat terutama di dalam situasi ekonomi dunia yang bergolak ketika ini.
“Tumpukanlah kepada ibadah yang wajib dilakukan dan kurangkan aktiviti membeli-belah serta berbelanja ketika berada di Tanah Suci,” titah baginda pada perasmian Kursus Perdana Haji Selangor di sini, hari ini.
Malah, baginda turut menasihatkan supaya jemaah menjaga nama baik negara dan menghindari atau tidak terlibat dengan sebarang penganjuran perhimpunan bantahan atau demonstrasi.
“Tumpukan perhatian kepada ibadah dan bersabarlah dalam segala ujian dan kepayahan serta dugaan yang akan dihadapi,” titah baginda.
Selain itu, Sultan Selangor turut menyarankan jemaah agar memanfaatkan kemudahan disediakan Lembaga Tabung Haji dengan baik dan tidak terpengaruh dengan pihak lain kerana dikhuatiri mereka akan ditipu.
“Kita harus bersyukur dengan adanya Lembaga Tabung Haji yang menjaga dan menguruskan kebajikan jemaah haji. Oleh itu gunakanlah kemudahan yang disediakan dan jangan menggunakan agensi-agensi lain tidak diketahui latar belakangnya yang boleh menyebabkan jemaah tertipu atau terpedaya sehingga ibadah haji tergendala.
“Manfaatkanlah peluang tersebut dengan sebaik-baiknya untuk mendapatkan haji yang mabrur,” titah baginda.
Tahun ini, sejumlah 8,202 umat Islam dari negeri ini adalah yang paling ramai di negara ini yang akan berangkat ke Tanah Suci.
Bermula tahun ini, cuaca di Mekah diramalkan berada pada musim bunga sepanjang musim haji yang bermula pada Mei depan.
Musim bunga berlaku antara pertengahan Mac hingga Jun, akan menyaksikan suhu pada Waktu malam serendah 15 darjah Celcius, manakala di kawasan tengah dan selatan dengan purata sekitar 20 darjah Celcius. – UTUSAN










