MOSCOW: Gencatan senjata sementara antara Russia dan Ukraine sempena Paskah Ortodoks dijadualkan bermula petang Sabtu, ketika usaha diplomatik yang diketuai Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan perang terbantut.
Kremlin berkata, ia mengarahkan gencatan senjata sementara selama 32 jam, bermula 4 petang Sabtu sehingga lewat lewat Ahad.
Menteri Pertahanan Russia, Andrei Belousov dan ketua tentera, Valery Gerasimov diarahkan untuk menghentikan permusuhan di semua arah sepanjang tempoh tersebut.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, Kyiv berulang kali menyatakan kesediaannya untuk gencatan senjata sepanjang Paskah dan bersedia bertindak balas secara timbal balik.
Gencatan senjata sementara itu berlaku ketika rundingan yang diketuai AS untuk menamatkan konflik empat tahun tersebut terjejas akibat perang di Asia Barat.
Kedua-dua pihak turut melaksanakan gencatan senjata semasa Paskah Ortodoks tahun lalu.
Pihak berkuasa di wilayah tengah Ukraine, Poltava dan Sumy di timur laut melaporkan seorang terbunuh dan kira-kira 15 lagi cedera dalam dua serangan berasingan pada malam Jumaat, hanya beberapa jam sebelum gencatan senjata bermula.
Menurut Tentera Udara Ukraine, Russia melancarkan 128 dron ke atas negara itu sepanjang malam Khamis.
Beberapa pusingan rundingan yang diketuai AS gagal merapatkan jurang antara kedua-dua pihak yang berperang, dan perhatian Washington kini tertumpu kepada Iran.
Rundingan tersebut menemukan jalan buntu, dengan Moscow menuntut konsesi wilayah dan politik yang ditolak Zelensky kerana disifatkan sebagai sama seperti penyerahan diri.- AFP










