10 tahun ‘cuba jaya’ jual laksa utara

10 tahun ‘cuba jaya’ jual laksa utara

NORAZLY Noordin memperkenal Laksa Utara Teloq Sebiji yang diusahakan secara serius di Taman Impianku di Kuantan, Pahang. - MINGGUAN/DIANA SURYA ABD. WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Selepas hampir sedekad memperhalusi resepi melalui proses ‘cuba jaya’, laksa utara air tangan Norazly Noordin kini menjadi sumber rezekinya sejak serius mengusahakan perniagaan itu, Januari lalu.

Menggunakan jenama Laksa Utara Teloq Sebiji, anak kelahiran Perlis berusia 46 tahun itu mampu menjual sekitar 30 bungkus sehari di gerainya di Taman Impianku di sini, dengan sasaran meningkatkan jualan kepada 50 bungkus.

Katanya, usaha mencari rasa terbaik bermula sejak 2014 apabila kerap menyediakan laksa untuk kenduri kecil dan sambutan hari raya.

“Nak dapatkan rasa yang benar-benar kena dengan selera orang tempatan bukan mudah. Hampir 10 tahun saya perbaiki sedikit demi sedikit,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Menurut Norazly, dorongan keluarga dan rakan yang yakin dengan keaslian rasa laksa utaranya menjadi titik tolak dia berniaga lebih serius.

Katanya, keistimewaan laksa terletak pada kuah yang dirumus teliti menggunakan tiga hingga lima kilogram ikan segar setiap hari bagi memastikan rasa konsisten.

“Saya lebih utamakan kualiti berbanding kuantiti. Bekalan ikan segar sangat penting kerana ia menentukan rasa,” katanya.

Walaupun belum mencapai sasaran 50 bungkus sehari, dia bersyukur sambutan pelanggan yang kembali berulang dan turut memperkenal laksa utara itu kepada kenalan mereka.

“Paling penting pelanggan puas hati dan kembali semula. Itu rezeki yang tidak disangka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN