103 calon bertanding PRN Negeri Sembilan

103 calon bertanding PRN Negeri Sembilan

RAMLAN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 103 calon mewakili pelbagai parti dan individu disahkan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Kali Ke-16, selepas tempoh penyerahan kertas penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, daripada jumlah itu, Pakatan Harapan (PH) merekodkan jumlah tertinggi dengan 36 calon, diikuti Barisan Nasional (25 calon) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (24 calon).

“Perikatan Nasional (PN) 11 calon, empat calon bebas manakala Barisan Jamaah Islamiah Semalaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (Asli) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing satu calon. Tiada kertas penamaan yang ditolak,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini hari ini.

Ramlan berkata, sebanyak dua DUN menyaksikan bilangan pertandingan empat dan lima penjuru, tiga penjuru di 21 DUN dan dua penjuru di 11 DUN.

Katanya, calon lelaki paling ramai bertanding iaitu seramai 94 orang berbanding hanya sembilan calon wanita.

“Calon termuda berusia 23 tahun iaitu M. Leevineshwaraan dari Bersatu dan calon tertua berusia 70 tahun, Abd Latif A Tambi dari PH,” katanya.

Beliau memaklumkan, tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan pada hari penamaan calon oleh pegawai pengurus hari ini sehingga pukul 11.59 malam, 31 Julai ini.

Katanya, SPR telah menubuhkan 36 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti calon bertanding ketika berkempen.

“Bahan kempen yang mengandungi perkataan-perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat, berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan atau hasutan yang boleh mendatangkan permusuhan adalah tidak dibenarkan.

“SPR juga berharap aktiviti berkempen yang dibenarkan akan berjalan dalam suasana penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN