MELAKA: Seorang pelajar Kolej Komuniti Masjid Tanah maut dalam selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Kampung Paku, Lendu di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu, mangsa lelaki berusia 19 tahun, menunggang motosikal jenis SYM 185, dipercayai dalam perjalanan dari arah Alor Gajah menuju ke Masjid Tanah.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superetendan Muhammad Zaki Ramat berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum motosikal ditunggangnya terbabas masuk ke laluan bertentangan.
Menurutnya, sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu lelaki berusia 45 tahun dari arah bertentangan dipercayai tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan. Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua kenderaan terlibat telah ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurul Salina Rosli di talian 011-25435507 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – UTUSAN










