PKR cadang Anwar tanding di Parlimen Tambun - Utusan Malaysia

PKR cadang Anwar tanding di Parlimen Tambun

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH:  PKR Cabang Tambun mencadangkan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai antara calon untuk bertanding di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Angkatan Muda PKR (AMK) Cabang Tambun,  Ashraf Kahasani berkata, dua lagi nama yang dicadangkan ialah Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak  dan Ketua Cabang PKR Tambun, Muhamad Arafat.

Menurutnya, tiga nama itu dicadangkan sebagai calon di Parlimen Tambun pada Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Tambun tahun lepas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, dalam mesyuarat itu, AMK Tambun dan Wanita PKR Tambun juga sebulat suara meluluskan usul Parlimen itu milik PKR pada (PRU-15).

“Jesteru, kami berharap mana-mana pemimpin selain nama yang dipersetujui dalam mesyuarat itu, tidak perlu membuang masa dengan harapan untuk bertanding dan boleh menang di Parlimen Tambun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat selepas Ketua Pembangkang Perak, Dr. Abdul Aziz Bari menyatakan hasrat untuk bertanding di Parlimen Tambun baru-baru ini.

Ashraf  menegaskan, Parlimen Tambun milik PKR kerana sebelum ini kerusi itu dipinjamkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), iaitu  semasa Bersatu dalam Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, Abdul Aziz perlu memperbetulkan kenyataannya kerana kerusi Tambun milik PKR.

“Sebelum ini kerusi Parlimen Tambun dipinjamkan kepada Bersatu pada PRU-14.

“Apabila Bersatu meninggalkan PH, maka secara prinsipnya Tambun kekal kepada PKR dan persoalan mengenainya tidak berbangkit. 

“Apabila Ahli Parlimen Tambun (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) tidak lagi menjadi sebahagian daripada PH,  PKR Cabang Tambun telah menjalankan aktiviti dan program peringkat Parlimen Tambun untuk memastikan kebajikan rakyat terjamin,” katanya. 

Sebelum ini, Farhash Wafa mempelawa Anwar untuk bertanding di kerusi Parlimen di negeri ini dalam PRU-15, sebagai langkah untuk mengukuhkan parti itu menawan negeri ini.

Menurut Farhash Wafa, kehadiran nama besar seperti Anwar di negeri ini memudahkan PKR untuk menawan Perak.

Katanya, pelawaan itu mendapat respons yang positif daripada Anwar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×