KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menjelaskan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kes mahkamah melibatkan individu berprofil tinggi.
Hal itu berikutan selepas keputusan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilepas dan dibebaskan daripada dua tuduhan iaitu gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan memberi pernyataan palsu.
Antara lain, Majlis Presiden PH turut kesal dan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan perkara sama kepada semua kes rasuah dengan pembayaran balik wang sogokan yang dirampas kerana menyifatkan badan itu bersikap acuh tidak acuh serta mengiyakan trend tersebut.
“Adakah SOP kini membolehkan seseorang boleh didakwa mencuri wang untuk dilepaskan dengan membayar balik sebahagian daripada “barang kes” tersebut?
“Kami menggesa Peguam Negara beri penjelasan memandangkan keputusan untuk mendakwa atau menarik pendakwaan terhadap seseorang itu terletak di tangan peguam negara.
“Demi menegakkan kedaulatan undang-undang, trend baharu Peguam Negara dan SPRM jelas melanggar prinsip bahawa keadilan itu bukan sahaja mesti dilakukan tetapi mesti disaksi dilakukan,” katanya dalam satu satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu ditandatangani bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Pada 29 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Ahli Parlimen Pontian itu atas dua pertuduhan tidak mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi pernyataan palsu kepada SPRM.
Perkara itu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi selepas Ahmad membayar kompaun sebanyak RM1.1 juta.
Ahmad turut dituduh memberi pernyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa, Mohd Zairi Zainal, antara jam 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019, di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen berhubung cek itu.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda kedua-duanya. – UTUSAN ONLINE










