P. Pinang lancar pakej pelancongan durian di Hong Kong

P. Pinang lancar pakej pelancongan durian di Hong Kong

WONG Hon Wai (duduk, kanan) melancarkan pakej pelancongan durian Pulau Pinang di Hong Kong, semalam. – GAMBAR/FACEBOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Keenakan durian Pulau Pinang kini dijadikan produk pelancongan antarabangsa apabila kerajaan negeri melancarkan pakej pelancongan durian rasmi pertama di Hong Kong untuk menarik lebih ramai pelancong asing ke negeri itu.

Pelancaran pakej pelancongan durian Pulau Pinang itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai semalam.

Hon Wai berkata, inisiatif berkenaan adalah satu pencapaian penting dalam mempromosikan tarikan unik negeri tersebut kepada pasaran antarabangsa.

“Hong Kong kekal sebagai antara pasaran pelancongan antarabangsa penting bagi Pulau Pinang memandangkan pelancong dari wilayah itu terkenal dengan minat terhadap pengalaman gastronomi, warisan budaya dan aktiviti pelancongan yang autentik,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran pakej pelancongan durian berkenaan.

Hon Wai berkata, inisiatif itu juga mencatat sejarah baharu kerana buat pertama kalinya produk bermusim ikonik Pulau Pinang iaitu durian dijadikan pakej pelancongan khas yang disusun khusus untuk pasaran Hong Kong.

Katanya, industri pelancongan durian Pulau Pinang kini berkembang melangkaui sekadar aktiviti menikmati buah itu, sebaliknya menawarkan pengalaman menyeluruh yang menggabungkan elemen gastronomi, pertanian, alam semula jadi dan budaya tempatan.

“Melalui pakej ini, pelawat bukan sekadar datang untuk makan durian tetapi merasai sendiri pengalaman menikmati durian melalui bufet durian premium, sesi merasa pelbagai varieti, lawatan ke dusun dan pengalaman desa yang unik di Balik Pulau,” katanya.

Menurutnya, antara varieti premium yang menjadi tarikan utama ialah Musang King, Black Thorn dan Udang Merah yang sememangnya mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penggemar durian antarabangsa.

Beliau berkata, keistimewaan durian Pulau Pinang terletak pada faktor geografi yang unik apabila kebanyakan dusunnya terletak di kawasan berbukit sekitar Balik Pulau dan Bukit Bendera, sekali gus menghasilkan profil rasa yang tersendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN