KUALA LUMPUR: UMNO terbuka kepada apa juga bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak demi kestabilan politik negara dan kesejahteraan rakyat.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebarang bentuk kerjasama itu mestilah berlandaskan kepada prinsip keikhlasan dan kepercayaan.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan dan menjelaskan lebih lanjut mengenai kerjasama yang dimaksudkan.
“Apa juga bentuk kerjasama mesti dilandaskan kepada prinsip keikhlasan dan kepercayaan,” katanya semasa sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO tidak berhasrat menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) kerana menganggap kerjasama tersebut sudah berakhir dan tidak lagi menjadi agenda parti itu.
Sementara itu, mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Asyraf berkata, keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempertahankan mandat negeri bukan pengkhianatan kepada Kerajaan Persekutuan sebagaimana tuduhan segelintir pihak.
Sebaliknya, katanya, ia adalah amalan demokrasi yang sah, matang dan berperlembagaan untuk menyerahkan sepenuhnya mandat kepada rakyat.
“UMNO berhak menentukan pendirian dan hala tuju parti apabila menjelang mana-mana pilihan raya termasuklah PRN Johor dan Negeri Sembilan yang bakal ditentukan tarikhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.
“Perlu diingat, Kerajaan Negeri Johor dibentuk sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan tanpa melibatkan parti-parti daripada Pakatan Harapan. Justeru, perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan tidak mengikat mana-mana kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata, UMNO akan terus mendukung Kerajaan Perpaduan yang terbentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atas titah Yang di-Pertuan Agong sehingga pilihan raya kelak. – UTUSAN










