Pesawah diminta sabar tunggu benih padi - Utusan Malaysia

Pesawah diminta sabar tunggu benih padi

AZMAN Nasrudin (dua kanan) bergambar bersama pesawah selepas Majlis Penyerahan Sewa Pajak Projek PPSB Kampung Asam Jawa, Pendang, Kedah, hari ini. - UTUSAN/NUR ANATI JUHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Kerajaan negeri percaya masalah kelewatan bekalan benih padi kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di negeri ini  dapat diselesaikan dengan segera.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, Azman Nasrudin berkata, pesawah di negeri ini diminta bersabar kerana pembekalan benih padi diagihkan dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, bekalan benih padi untuk pesawah di kawasan MADA adalah mencukupi bagi musim ini.

Sehubungan itu, katanya, pesawah dinasihatkan supaya tidak perlu terikut dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu yang memainkan isu benih padi tersebut.

“Jabatan Pertanian telah mengeluarkan kenyataan sebelum ini benih padi mencukupi.

“Mungkin ada berlaku kelewatan benih padi di beberapa kawasan namun  MADA sentiasa mengambil tindakan segera untuk mengatasi perkara ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bayaran Sewa Pajak Projek Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) Kampung Asam Jawa, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) F-III MADA, di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 85 peserta Projek PPSB Kampung Asam Jawa menerima bayaran sewa pajak bagi tempoh 10 musim bermula musim 2/2021 hingga 1/2026 di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) F-III MADA.

Azman memberitahu, kesemua peserta terlibat bersetuju menyambung perjanjian sewa pajak yang meliputi kawasan seluas 64.106 hektar di kampung tersebut.

Sementara itu, beliau menambah, pesawah di negeri ini supaya memesan jenis benih padi yang diperlukan dan tidak menukarnya pada saat akhir.

“Sekiranya jenis benih padi yang ditempah habis maka ia akan digantikan dengan jenis benih padi yang lain dan setara,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Tarmizi berkata, pegawai-pegawai MADA sering mendapatkan maklumat susulan daripada peladang bagi memastikan proses penghantaran benih padi sah (BPS) dapat dilakukan mengikut jadual masing-masing. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN