Perlis rekod penemuan bersejarah - Utusan Malaysia

Perlis rekod penemuan bersejarah

SYAMIL Abd. Rahman mengambil gambar lukisan pada dinding gua dipercayai zaman proto sejarah di Gua Semadong, Padang Besar, Perlis. – MINGGUAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Perlis terus merekodkan penemuan bersejarah apabila terbaharu lukisan gua dipercayai dari zaman proto sejarah ditemukan di Gua Semadong di sini.

Lukisan di dinding gua tersebut ditemukan Pencinta Hijau dan Hidupan Liar Perlis (PNW) dan Persatuan Mendaki Negeri Perlis (Perlis Climbers).

Lukisan berbentuk lakaran gajah (Ganesha); lembu (Nandi); ular (nagin); manusia dan mawas (Hanuman) yang mempu­nyai pengaruh Hindu-Buddha itu dianggarkan sekitar abad kelima hingga ke-10 Masihi.

Semalam, eksplorasi Jabatan Warisan Negara diketuai Pesuruhjayanya, Mohd. Azmi Mohd. Yusof bersama kerajaan negeri, Perlis Climbers, PNW dan wakil-wakil media, meluangkan masa kira-kira satu jam bagi menyaksikan sendiri kewujudan lukisan itu.

Untuk ke lokasi lukisan itu, memerlukan masa sekitar 10 minit mendaki di dalam gua seluas separuh padang bola itu.

Terdahulu, kumpulan Jabatan Warisan Negara yang turut di­sertai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Asmaiza Ahmad meninjau lokasi penemuan fosil tengkorak purba dipercayai berusia antara 5,000 hingga 10,000 tahun di kaki bukit, Bukit Keteri di sini.

Mohd. Azmi ketika ditemui selepas meninjau lokasi lukisan tersebut berkata, penemuan lukisan di dinding gua tersebut cukup bersejarah dan merupakan antara penemuan baharu di ne­geri ini.

“Lukisan dinding gua seperti gajah, lembu, ular dan mawas menggambarkan pengaruh Hindu-Buddha ketika itu.

“Jabatan Warisan Negara akan menjalankan ekskavasi dan dokumentasi lukisan purba di Gua Semadong itu. Kita juga akan meneruskan eksplorasi secara menyeluruh ke tapak-tapak yang berpotensi sebagai kawasan penyelidikan arkeologi Perlis.

“Saya memohon kerjasama semua pihak menjaga dan memulihara kawasan itu. Malah, proses mewartakan kawasan berkenaan juga akan dibincangkan,” kata­nya.

Tambah Mohd. Azmi, eksplorasi yang diadakan bertujuan melaksanakan pendokumenta­sian dan inventori tapak bagi memperoleh data arkeologi terkini.

Selain itu katanya, ia juga bagi melaksanakan kaji selidik dengan lebih lanjut sebarang kemungkinan penemuan artifak yang masih belum diterokai penyelidik terdahulu.

Sementara itu, bercakap kepada Mingguan Malaysia, pe­ngasas PNW, Syamil Abd. Rahman berkata, kali pertama lukisan berkenaan ditemukan pada 2017 ketika PNW melakukan eksplorasi merekod kewujudan gua-gua batu kapur di negeri ini.

Katanya, lukisan tersebut menjadi sejarah penting bagi negeri ini selepas rekod lukisan masyarakat asli suku Negrito pada 1930-an sudah musnah akibat aktiviti kuari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya