PETALING JAYA: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menggesa kerajaan menyekat penjualan barangan luar di dalam platform e-dagang untuk membantu dan memulihkan ekonomi dalam negara yang menekan peniaga-peniaga kecil untuk terus beroperasi.
Pengerusi Biro Ekonominya, Armin Baniaz Pahamin berkata, sebanyak AS$49.4 bilion bersamaan dengan RM220 bilion dialirkan keluar kepada China melalui platform pembelian dalam talian.
Menurut beliau, pengguna e-dagang meningkat setiap tahun dengan dianggarkan hampir empat juta pengguna e-dagang menjelang 2025 dan jumlah itu mewakili 77 peratus dari populasi negara ini yang mana dianggarkan jumlah aliran pembelian akan meningkat AS$530 setahun menjelang 2025.
“Jika sektor-sektor tempatan tidak dibendung dari awal, kami khuatir bukan sahaja usahawan tempatan tetapi ekonomi Malaysia terjejas dengan jumlah import melebihi jumlah ekspot.
“Sekatan yang dibuat dapat melindungi inisiatif dan usaha kerajaan yang memperuntukkan RM4.6 bilion pada Belanjawan 2020,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Melalui satu laporan baru-baru ini menyatakan, lebih dari 52 peratus pembelian dalam talian dibelanjakan ke atas produk-produk luar negara melalui platform Lazada dan Shopee seperti barangan fesyen, kecantikan, elektronik, makanan serta penjagaan diri.
Armin Baniaz berkata, kerajaan berbelanja besar berkempen untuk membeli barangan buatan Malaysia tetapi tanpa sekatan dan kawalan akses kepada produk luar, ia membuatkan perbelanjaan itu sia-sia.
“Segala usaha ini terbiar jika produk dan barangan tempatan gagal bersaing dengan barangan import dari China yang memang jauh mempunyai kekuatan kewangan untuk mengeluarkan barangan dan produk dengan lebih kuantiti dan kualiti,” katanya.
Jelas beliau, kerajaan perlu melakukan kajian semua kategori-kategori oleh peniaga industri mikro, kecil dan sederhana selain perlu membantu usahawan tempatan untuk terus bernafas di dalam ekonomi yang terjejas.
“Kerajaan diingatkan tidak mengabaikan sektor perkhidmatan kecil seperti tukang gunting rambut, tukang jahit dan lain-lain kerana mereka ketinggalan jauh dalam digitasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE










