SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) akan bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, gabungan parti politik itu yang merangkumi PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) telah selesai melakukan pembahagian kerusi yang akan ditandingi PH.
Beliau yang juga Menteri Besar berkata, pengumuman lebih terperinci mengenai kerusi yang akan ditandingi akan dibuat minggu depan.
“Pembahagian kerusi telah siap dan kita akan muktamadkan minggu depan,” katanya semasa sidang akhbar di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini malam tadi.
Terdahulu, dalam sidang akhbar itu, beliau mengumumkan pembubaran DUN Negeri Sembilan berkuatkuasa hari ini, 5 Jun 2026.
Utusan Malaysia difahamkan PKR akan berbertanding 15 kerusi, DAP (11) dan Amanah (10).
Ketika ini, PH menguasai 17 kerusi dengan PKR memiliki lima kerusi, DAP (11) dan Amanah (1). Barisan Nasional (BN) mempunyai 14 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) menduduki lima kerusi.
PH dan BN telah membentuk kerajaan negeri selepas PRN pada 2023. Namun BN telah mengisytiharkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Aminuddin sebagai Menteri Besar pada 27 April lalu.
Aminuddin memberitahu, pembubaran DUN tersebut dilihat mampu menyelesaikan kemelut politik yang berlarutan sejak BN menarik sokongan terhadapnya.
“Kita lihat mula-mula dia (ADUN UMNO) kata tidak sokong saya, tarik diri dari kerajaan dan lepas itu kita nampak ia tak sesuai dalam sebuah kerajaan.
“Kita rasa perlu mandat baharu daripada rakyat. Jadi saya serahkan kepada rakyat untuk menentukan masa depan negeri ini,” katanya.
Menurutnya, pembubaran DUN itu dibuat mengikut lunas dan peraturan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
“Saya telah dapat perkenan dan mematuhi UUTKNS. Itu sahaja,” katanya.-UTUSAN.










