KUALA TERENGGANU: Pengguna Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) disarankan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sepanjang menggunakan kemudahan di lebuh raya berkenaan susulan jangkaan peningkatan trafik bermula hujung minggu ini hingga cuti umum Maulidur Rasul, Selasa depan.
Pengurus Perniagaan Wilayah LPT2, Suhaimi Samat berkata, pihaknya komited menyediakan pengalaman perjalanan yang selamat dan selesa kepada para pelanggan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar memakai pelitup muka, mengimbas kod MySejahtera, memeriksa suhu badan dan menjaga jarak fizikal termasuk ketika beratur mendapatkan makanan.
“Kami mengalu-alukan semua pelanggan untuk singgah di lima hentian rehat dan rawat (R&R) serta empat hentian sebelah dan bagi yang ingin makan secara ‘dine in’ di medan selera, mereka perlu menunjukkan status vaksinasi Covid-19 ketika membuat pesanan di gerai yang beroperasi.
“Setiap pelanggan akan menerima pelekat hijau sebelum memasuki ruang makan dan sekiranya berlaku kesesakan hingga menjejaskan penjarakan fizikal, maka LPT2 serta rakan peniaga akan menawarkan pembelian makanan secara bungkus,” katanya dalam kenyataan di sini.
Suhaimi berkata, semua kemudahan di R&R dan hentian sebelah LPT2 sentiasa dibersihkan serta dinyah kuman mengikut jadual.
Di samping itu katanya, ruangan solat di surau turut dibuat penanda penjarakan satu meter termasuk di kawasan mengambil wuduk.
“Bagaimanapun, kita menggalakkan pelanggan membawa kelengkapan solat sendiri seperti sejadah atau telekung untuk wanita bagi memastikan kebersihan diri terpelihara,” katanya.










