Pengarang Suara Perak terima Anugerah Media sempena Maulidur Rasul

Pengarang Suara Perak terima Anugerah Media sempena Maulidur Rasul

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan Anugerah Pengamal Media kepada Abd. Razak Mohd. Ali pada majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh, semalam. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pengarang Suara Perak, Abd. Razak Mohd. Ali dipilih sebagai penerima Anugerah Pengamal Media sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak di Masjid Sultan Azlan Shah di sini semalam.

Berusia 58 tahun, Abd. Razak, yang pernah menjawat jawatan Ketua Biro Utusan Malaysia Perak pada tahun 1995 hingga 1996, kini merupakan wakil Astro Awani Perak sejak tahun 2012.

Anugerah Pengamal Media pertama kali diperkenalkan pada Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak.

Menurut Abd. Razak, anugerah yang diterimanya itu merupakan pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan pengamal media dalam menyampaikan berita kepada masyarakat.

“Terima kasih kepada semua pihak yang telah mencadangkan anugerah untuk pengamal media yang pertama kali diadakan tahun ini. 

“Anugerah ini mengiktiraf profesion kewartawanan yang bertungkus-lumus untuk menyampaikan berita yang benar kepada masyarakat, bukan sahaja di Perak tetapi juga di seluruh negara.

“Menjadi wartawan merupakan satu amanah, juga untuk kita memperbetulkan kalau ada yang silap, lebih-lebih lagi dalam dunia teknologi maklumat hari ini,” katanya di sini semalam.

Abd. Razak menerima menerima wang tunai RM3,000, plak dan sijil.

Sementara itu, Setiausaha Masjid Muhammadiah atau Masjid Cina di sini, Muhammad Missyaqirin Thien Abdullah dipilih sebagai penerima Anugerah Pendakwah, juga menerima wang tunai RM3,000, plak dan sijil.

Ahli perniagaan, Datuk Abdul Rasid Nopiah menerima anugerah Keluarga Mithali dan menerima RM5,000, plak dan sijil.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menghadiri Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak dan menyampaikan anugerah kepada penerima.

Keberangkatan baginda diiringi Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd. Yusop Husin.

Sambutan bertemakan ‘Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti’, Sultan Nazrin menunaikan solat Maghrib bersama lebih 200 hadirin selain diperdengarkan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan berselawat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN