Pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Gebeng

Tiada halangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Kawasan Perindustrian Gebeng

WAN Rosdy Wan Ismail (dua dari kanan) menyerahkan cenderamata kepada Mustapha Mohamed pada Sesi Jelajah Pasca Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) oleh Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan Pusat secara dasarnya tiada halangan terhadap cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa di negeri ini di Kawasan Perindustrian Gebeng di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia berdasarkan keputusan mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara yang bersetuju supaya projek berkenaan dikaji lebih lanjut.

“Projek ini (lapangan terbang antarabangsa) merupakan perancangan jangka panjang yang akan dibangunkan secara berfasa di Gebeng sehingga 2050.

“Selain pembinaan lapangan terbang bertaraf antarabangsa, ia turut melibatkan pembinaan pusat beli-belah, hotel dan sebagainya yang akan dibangunkan secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI),” katanya dalam sidang akhbar sempena Sesi Jelajah Pasca Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) oleh Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri di Hotel Zenith, di sini hari ini. 

Hadir sama pada siri jelajah berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Wan Rosdy berkata, projek itu mengambil kira keperluan sebuah lapangan terbang bertaraf antarabangsa di negeri ini dan pantai timur khususnya.

“Ketika ini, Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah sedia ada ‘menumpang’ lapangan terbang Pangkalan Udara Kuantan (TUDM),” katanya. 

Berhubung RMK-12, beliau berkata, kerajaan negeri mengemukakan sebanyak 731 projek dengan jumlah kos keseluruhan RM50.571 bilion. 

“Daripada jumlah itu, kerajaan negeri menyenaraikan 13 projek mengikut keutamaan pada RMK-12 termasuk tujuh projek pembinaan jalan raya di negeri ini,” katanya. 

Sementara itu, Mustafa berkata, sebanyak RM11.5 bilion diperuntukkan kepada Pahang dalam RMK-11 di mana RM3.4 bilion dikhususkan untuk jalan raya.

“Bagi tahun ini, RM326 juta diperuntukkan bagi tujuan itu dan untuk tahun depan (2022), ia bergantung pembentangan bajet yang akan dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN