PETALING JAYA: Pemain industri getah yang mengaut keuntungan mencecah berbilion ringgit perlu mempunyai satu tanggungjawab untuk membantu memajukan pekebun kecil getah sebagaimana yang dilakukan dalam industri kelapa sawit.
Pengerusi Pertubuhan Gerak Tani Negeri Johor, Datuk Mazlan Aliman berkata, kerajaan dan syarikat besar industri getah harus berbincang menjurus kepada kaedah meningkatkan pendapatan petani khususnya pekebun kecil.
Menurut beliau, perbincangan itu perlu menekankan kesamarataan pengagihan kekayaaan antara pemain industri yang mengaut keuntungan berbilion ringgit berbanding mata pencarian pekebun kecil masih di takuk lama.
“Dalam industri kelapa sawit, pelbagai agensi termasuk sektor swasta terlibat dalam memajukan industri itu kerana pemain industrinya yang agresif dan adanya kepelbagaian mekanisme.
“Namun, perkara ini tidak menyerlah dalam konteks industri getah sama ada dari sudut kolaborasi atau tanggungjawab untuk menaikkan pendapatan pekebun-pekebun kecil getah, maka soal pendapatan masih lagi menjadi perbincangan dan pekebun getah ini dikaitkan dengan kemiskinan.
“Akhirnya, lama kelamaan industri getah ditinggalkan, jadi inisiatif dan insentif yang harus ditawar oleh kerajaan mesti mengambil kira kedudukan industri getah, jika tidak ia akan malap,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Ahad lepas, Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi akan meneliti cadangan meningkatkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 sekilogram ketika ini, kepada RM3.50 sekilogram sebagai usaha membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil di negara ini.
Ini kerana kira-kira 48,000 penoreh getah di Kedah masih dibelenggu kemiskinan walaupun harga getah sekerap semakin stabil apabila mencecah RM3 sekilogram ketika ini.
Menurut Mazlan, pihaknya juga tidak menafikan sektor komoditi kebanyakannya bergantung kepada pasaran, meskipun sektor kelapa sawit berada di tahap memberangsangkan, tetapi sektor getah sangat terdedah kepada pasang surut.
Bagaimanapun, katanya, untuk meningkatkan pendapatan penoreh getah bukanlah sekadar memutuskan harga lantai, tetapi industri berkaitan getah perlu dipelbagaikan dan tidak hanya bergantung kepada segala yang terdapat ketika ini.
“Di Thailand, mereka sudah membuat jalan raya yang terdiri daripada bahan getah, maka saya fikir ini sangat bertepatan jika usaha kepelbagaian sebegini dapat dilakukan.
“Jika tidak ada kepelbagaian, maka dalam pekebun kecil masih bergelut untuk mendapatkan pendapatan yang baik, tetapi syarikat besar boleh membuat untung berlipat ganda yang memakan berbilion-bilion,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Datuk Aliasak Ambia berkata, kerajaan disaran menyediakan latihan khusus kepada penoreh getah bagi membolehkan mereka meningkatkan hasil getah sekali gus meningkatkan pendapatan.
Beliau berkata, latihan khusus itu perlu diberikan bagi memastikan penoreh getah mempunyai pengetahuan yang lebih dalam bidang pertanian getah.
Katanya, pihaknya juga tidak dinafikan bahawa RM3.50 sebagai harga lantai getah sekerap itu masih rendah kerana peningkatan kos keseluruhan yang diperlukan untuk menjaga kebun getah sudah meningkat sehingga 30 peratus.
“Kos baja, racun dan upah semuanya naik, tetapi dalam masa mahu kawal kos tersebut, maka cara penjagaan (pertanian getah) yang betul perlu diajar supaya hasilnya lebih berkesan dan meningkat.
“Oleh itu, peningkatan hasil perlu menjadi fokus kerana saya percaya dengan peningkatan hasil getah itu dapat meningkatkan pendapatan penoreh getah,” katanya.
Menurut Aliasak, pokok getah juga tidak boleh ditanam dan dijaga dengan sewenang-wenangnya kerana ia memerlukan penjagaan yang betul untuk mendapat hasil yang lebih banyak.
“Sehingga kini masih terdapat penoreh getah yang belum cukup latihan dan belum didedahkan dari segi teknologi dan apabila hasilnya kurang, tentu pendapatannya juga berkurangan.
“Masa kini, dianggarkan satu ekar getah misalnya hanya dapat memperoleh hasil dalam satu hingga dua kilogram (kg), tetapi sepatutnya satu pokok itu boleh mengeluarkan hasil sehingga enam atau tujuh kg, malah ada yang sampai 10 hingga 12 kg.
Tambah beliau, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) ada memberi tunjuk ajar, namun ia masih belum menyeluruh.
“Risda perlu turun ke setiap kampung dan daftarkan penoreh getah untuk beri mereka pengetahuan (ilmu pertanian getah), itu yang sepatutnya dibuat.
“Tidak dinafikan Risda juga sentiasa salurkan biji benih yang berkualiti, tetapi cara penjagaan dan keperluan zat itu perlu dipastikan dengan kaedah yang betul, tunjuk ajar dari pegawai Risda itu amat penting,” katanya.- UTUSAN










