GEORGETOWN: Siasatan kes kehilangan dan kematian seorang warga Australia, Annapuranee Jenkins, 65, dijalankan dengan teliti serta mengikut segala prosedur yang ditetapkan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihak polis juga tidak pernah mengambil mudah sebarang laporan kes yang diterima termasuk kes Annapuranee, malah siasatan dijalankan dengan serius sejak hari pertama laporan kes itu diterima.
“Polis menjalankan siasatan kes ini secara terperinci termasuk mendapatkan maklumat atau perkembangan kes daripada saksi, ahli keluarga mangsa dan mereka yang mempunyai maklumat mengenainya.
“Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas sejumlah tulang ditemukan mengesahkan ia milik Annapuranee, namun pemeriksaan dan analisa oleh pasukan forensik Bukit Aman serta pakar patalogi di Jabatan Kimia mendapati kematian mangsa tiada unsur jenayah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Sebelum ini beberapa portal melaporkan, kes membabitkan seorang nenek dari Adelaide, Australia yang dilaporkan hilang di negara ini pada 2017 sebelum mayatnya ditemukan tiga tahun kemudian akan menjadi usul yang dibahaskan di Parlimen Australia Selatan.
Ahli Majlis Perundangan Parlimen Australia, Frank Pangallo akan menggerakkan usul terbabit untuk menggesa kerajaan Australia menyiasat dakwaan polis Malaysia mungkin tidak menjalankan siasatan secara teliti terhadap kehilangan dan kematian Annapuranee.
Wanita kelahiran Parit Buntar yang lebih dikenali sebagai Anna itu bercuti ke Pulau Pinang bersama suaminya, Frank.
Mayatnya ditemukan di sebuah tapak pembinaan projek rumah di Batu Gantung pada 24 Jun tahun lalu, iaitu kira-kira tiga kilometer dari lokasi terakhir dia menaiki Uber di Jalan Scotland pada Disember 2017.
Menurut Mohd. Shuhaily, pada 23 Ogos lalu, kertas siasatan kes itu yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) yang telah dilengkapkan telah dimajukan ke Pejabat Pengarah Pendakwaan negeri (PPN) untuk mendapatkan arahan lanjut.
“Pada 14 Oktober lalu, PPN telah mengarahkan prosedur inkues dibuat, tarikh prosiding inkues masih belum ditetapkan oleh Mahkamah Koroner,” katanya.
Tambahnya, sehingga kini PDRM Pulau Pinang juga tidak menerima apa-apa permohonan secara rasmi daripada Kedutaan Australia berhubung kes itu.
“Kami tidak dimaklumkan secara rasmi, dan kami hanya mendapat makluman mengenai hal ini daripada media jadi sebelum perkara ini dimainkan kami perlu memberi penjelasan.
“PDRM bersedia untuk membantu dan memberikan kerjasama kepada mana-mana pihak berhubung kes ini.
“Malah sepanjang proses siasatan ahli keluarganya juga sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan kes bermula daripada hari pertama mangsa dilaporkan hilang,” katanya. – UTUSAN










